MM Computer Systems kaut hasil RM30 juta pada 1QFY26, dipacu projek infrastruktur IT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MM Computer Systems kaut hasil RM30 juta pada 1QFY26, dipacu projek infrastruktur IT

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 JunMM Computer Systems Berhad (MMCS) memulakan tahun kewangan 2026 (FY26) dengan mencatatkan hasil sebanyak RM29.82 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.

 

Pencapaian itu didorong terutamanya oleh segmen reka bentuk, pelaksanaan dan konfigurasi rumusan teknologi maklumat (IT) yang menyumbang RM18.13 juta atau 60.8% daripada jumlah keseluruhan.


Sumbangan besar ini ujar kumpulan itu, berikutan pelaksanaan lima projek sedia ada berkaitan infrastruktur rangkaian IT dan rumusan keselamatan siber untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


"Satu projek baharu daripada agensi kerajaan bagi perlindungan persekitaran e-mel berasaskan awan turut menjana pendapatan pada sepanjang suku berkenaan," maklum MMCS kepada Bursa Malaysia.


Penyedia rumusan IT itu akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 11 Jun 2026 setelah tawaran awam permulaan (IPO) terlebih langgan 42.12 kali dengan menerima 15,363 permohonan.


Keputusan kewangan yang kukuh tersebut pada tiga bulan itu turut membolehkan kumpulan berkenaan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) mencecah sebanyak RM3.03 juta bagi tempoh yang sama.

 

MMCS_DagangNews2026



Selain itu, segmen perkhidmatan penyumberan luar turut menjadi penyumbang signifikan dengan nilai RM8.90 juta (29.85%), manakala jualan perkakasan dan pajakan IT menjana baki pendapatan MMCS.


"Secara kolektif, segmen rumusan IT dan perkhidmatan penyumberan luar menyumbang 90.63% daripada hasil, dengan PAT mengambil kira perbelanjaan penyenaraian berjumlah RM0.02 juta," katanya.


Kumpulan juga merekodkan kadar cukai efektif sebanyak 22.95%, iaitu lebih rendah berbanding kadar statutori 24% kerana mendapat pengecualian cukai berjumlah RM0.50 juta melalui status perintis.


Tiada angka perbandingan bagi suku yang sama pada tahun sebelumnya kerana ini merupakan laporan kewangan interim pertama yang diumumkan oleh MMCS selaras dengan keperluan penyenaraian awam.


Mengenai prospek masa depan, ia menyatakan keyakinan untuk terus memanfaatkan pertumbuhan industri rumusan IT di Malaysia yang dijangka berkembang pesat, didorong oleh peningkatan pendigitalan.


"Kumpulan akan terus fokus mendapatkan projek-projek berskala lebih besar yang menawarkan aliran pendapatan berulang bagi memastikan pertumbuhan jangka Panjang," jelasnya. - DagangNews.com