Stok minyak sawit Malaysia naik 5.2% kepada 2.43 juta tan, paras tertinggi dalam 5 bulan - MPOB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Stok minyak sawit Malaysia naik 5.2% kepada 2.43 juta tan, paras tertinggi dalam 5 bulan - MPOB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 Jun – Stok minyak sawit Malaysia meningkat pada Mei 2026, kadar paling tinggi dalam tempoh lima bulan disebabkan faktor kejatuhan mendadak eksport mengatasi penyusutan pengeluaran.

 

Menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), keadaan tersebut sekali gus menimbulkan isu kebimbangan mengenai tekanan terhadap harga komoditi tersebut dalam tempoh yang terdekat.


Inventori minyak sawit negara meningkat 5.2% kepada 2.43 juta tan pada Mei 2026 berbanding bulan sebelumnya, jauh lebih tinggi daripada jangkaan pasaran yang mengunjurkan kenaikan sekitar 2.2%.


"Peningkatan stok itu didorong kemerosotan eksport sebanyak 14% kepada 1.11 juta tan, paras rendah dalam tempoh setahun, apabila pembeli utama termasuk India dan China beralih sumber," jelasnya.


Dua negara pengguna terbesar di dunia itu dilaporkan mendapatkan lebih banyak bekalan minyak sawit daripada Indonesia yang ditawarkan pada harga cukup kompetitif berbanding Malaysia sendiri.


Perkembangan itu berlaku susulan perubahan dasar eksport komoditi oleh Indonesia yang mendorong pengeksport mempercepatkan penghantaran bekalan sebelum pelaksanaan sepenuhnya sistem baharu.


 

sawit_DagangNews

 

Walaupun sebelum ini terdapat jangkaan perubahan dasar Indonesia memberi kelebihan kepada Malaysia, situasi sebaliknya berlaku apabila pembeli global mengambil kesempatan terhadap harga lebih rendah.


Pada masa sama, MPOB melaporkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia susut 7% kepada 1.52 juta tan pada Mei berbanding April, rendah daripada jangkaan pasaran mengunjurkan penurunan 4.9%.


"Import minyak sawit turut didapati merosot dengan begitu ketara sebanyak 42% kepada hanya 43,816 tan sepanjang bulan tersebut," tambah lembaga berkenaan dalam laporan terkini diterbitkannya.


Penganalisis menjangka persaingan terus meningkat dalam beberapa bulan memandangkan banyak syarikat Indonesia mempercepatkan eksport sebelum kawalan baharu kerajaan dilaksanakan sepenuhnya kelak.


Pelabur kini menumpukan perhatian kepada data eksport minyak sawit bagi 10 hari pertama Jun untuk menilai sama ada permintaan daripada pembeli utama mula kembali kepada Malaysia atau sebaliknya.


Situasi itu dijangka menjadi faktor penting yang mempengaruhi hala tuju harga MSM serta prestasi syarikat perladangan yang tersenarai di Bursa Malaysia pada separuh kedua tahun ini. - DagangNews.com