OGX peroleh kontrak RM96.6 juta bekal produk infrastruktur pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OGX peroleh kontrak RM96.6 juta bekal produk infrastruktur pusat data

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Jun - OGX Group Berhad memperoleh kontrak bernilai RM96.6 juta bagi membekalkan produk infrastruktur pusat data yang mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan industri digital yang berkembang pesat di Malaysia.

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, OGX Networks Sdn Bhd menerusi Surat Anugerah (LOA) bagi membekalkan kabel gentian optik, panel tampalan dan bahan berkaitan untuk aplikasi pusat data.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, OGX berkata produk pusat data itu akan dihantar dalam tempoh enam bulan daripada tarikh LOA dikeluarkan.

 

Perolehan kontrak tersebut hadir ketika pembangunan pusat data di rantau ini terus berkembang sejajar peningkatan permintaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital yang memerlukan persekitaran pengkomputeran berskala besar.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Pengarah Urusan OGX, Tan Suan Loong berkata, kontrak itu mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan syarikat sebagai rakan pembekal produk pusat data yang dipercayai.

 

Katanya, produk yang dibekalkan OGX direka bagi menyokong sambungan gentian optik berkapasiti tinggi serta infrastruktur rangkaian berkaitan yang menjadi tulang belakang operasi pusat data moden.

 

“LOA ini dijangka memperkukuh kehadiran OGX dalam pasaran pusat data serta meningkatkan penglibatan kami dalam rantaian bekalan industri berkenaan.

 

“Kami kekal komited untuk membekalkan produk berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan ketat projek pusat data dan percaya kontrak ini membuka lebih banyak peluang baharu kepada kumpulan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan berterusan infrastruktur digital di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ditubuhkan pada 2007, syarikat itu berkembang daripada pengedar khusus produk infrastruktur IT kepada penyedia rumusan infrastruktur IT menyeluruh yang menawarkan reka bentuk, pelaksanaan dan sokongan sistem rangkaian mengikut keperluan operasi sesebuah organisasi.

 

Selain pengedaran produk infrastruktur IT, kumpulan itu turut menawarkan perkhidmatan waranti produk dan sokongan teknikal kepada pelanggan.

 

Kumpulan itu juga merupakan pengedar sah kepada 19 jenama teknologi antarabangsa yang membolehkan pelanggan integrator sistem mendapatkan akses kepada pelbagai teknologi dan penyelesaian digital.

 

Antara jenama utama dalam portfolio syarikat itu termasuk Sangfor, HPE-Aruba, Ruijie, Vertiv, Tenable, Forcepoint dan NetScout.- DagangNews.com