SC dakwa bekas Ketua Pegawai Kewangan Karex atas kesalahan beli saham guna maklumat dalaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC dakwa bekas Ketua Pegawai Kewangan Karex atas kesalahan beli saham guna maklumat dalaman

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Jun – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendakwa bekas Ketua Pegawai Kewangan Karex Berhad, Goh Chok Siang atas pertuduhan perdagangan orang dalam (insider trading) membabitkan pembelian saham syarikat itu pada tahun 2020.

 

Goh, 54, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

 

Beliau didakwa memperoleh 150,000 unit saham Karex pada 22 Julai 2020 ketika memiliki maklumat penting yang belum didedahkan kepada umum berkaitan cadangan syarikat untuk menceburi perniagaan pembuatan dan penjualan sarung tangan.

 

Menurut SC, maklumat berkenaan adalah maklumat bukan awam yang material kerana ia berpotensi mempengaruhi keputusan pelabur serta pergerakan harga saham syarikat.

 

“Ketika tempoh itu, sektor sarung tangan menjadi tumpuan pasaran susulan permintaan tinggi semasa pandemik COVID-19 dan sebarang perkembangan berkaitan industri tersebut sangat sensitif kepada pasaran,” kata SC dalam satu kenyataan.

 

Kesalahan di bawah Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 melibatkan urus niaga sekuriti oleh individu yang mempunyai maklumat dalaman yang belum dihebahkan kepada umum.

 

Goh bagaimanapun meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi.

 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM90,000 dengan dua penjamin tempatan selain mengarahkan beliau menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri kepada pegawai penyiasat SC setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.

 

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda tidak kurang daripada RM1 juta.

 

 

 

 

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Chian Huey dan Izzat Fauzan bersama Pegawai Pendakwa SC, Mark Rohan Mahadevan manakala Goh diwakili peguam bela Wong Chiang Kiat.

 

SC menegaskan bahawa perdagangan orang dalam merupakan kesalahan serius yang boleh menjejaskan integriti pasaran modal dan keyakinan pelabur, justeru pengawal selia itu akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas bagi memastikan pasaran modal negara kekal telus dan adil. - DagangNews.com