KUALA LUMPUR 29 Feb - Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melonjak tiga kali ganda kepada RM543 juta dalam tahun kewangan 2023 (FY23), berbanding RM187 juta dalam tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini didorong peningkatan hasil, pendapatan lain dan bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu dan usaha sama, serta keuntungan lebih tinggi daripada nilai saksama pelaburan dalam GMR Hyderabad International Airport Limited (GHIAL) yang dicatatkan pada tahun semasa, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pendapatan syarikat pengendali lapangan terbang itu meningkat 57% kepada RM4.9 bilion daripada RM3.1 bilion manakala pendapatan sesaham (EPS) menokok kepada 29.17 sen berbanding 7.82 sebelumnya.
MAHB mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 10.80 sen sesaham untuk FY23.
Dalam kenyataan berasingan, MAHB berkata jumlah pergerakan penumpang mencecah 119.5 juta pada FY23, manakala trafik penumpang meningkat 42.4% berbanding FY22 dan pulih sebanyak 84.6% berbanding FY19.
Pergerakan penumpang bagi operasi di Malaysia mencatat 81.9 juta orang, meningkat 55.4% berbanding FY22 dan pemulihan 77.8% berbanding tahap pra-pandemik.
Sementara itu, operasinya di Türkiye menyaksikan kenaikan 20.5% dalam pergerakan penumpang kepada 37.6 juta orang dan jumlah penumpang melepasi 36 juta orang yang dicatatkan pada FY19, dengan penumpang antarabangsa membentuk 52% daripada jumlah pergerakan penumpang pada FY23.
“Kebangkitan semula dalam trafik penumpang adalah disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk peningkatan keyakinan dan permintaan pengembara, pengembangan laluan penerbangan, penyambungan semula hak trafik Asia Utara, pelancaran operasi syarikat penerbangan baharu dan pembukaan semula sempadan China pada 8 Januari 2023,” kata MAHB.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamed Rastam Shahrom berkata, keadaan operasi yang bertambah baik mendorong kejayaan kumpulan mencapai prestasi kewangan yang lebih baik, dan berkembang maju dalam program pemodenan lapangan terbang, pendigitalan dan peremajaan komersial.

“Kami kini meletakkan asas untuk pertumbuhan masa depan dan pertambahan nilai yang mampan dengan pelan perniagaan strategik tiga tahun kami, sambil terus komited untuk meningkatkan perjalanan dan pengalaman penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbang kami.
“Ini sejajar dengan visi kami untuk menjadi kumpulan lapangan terbang global yang memperjuangkan ketersambungan dan kemampanan,” ujar beliau. - DagangNews.com








