Bekas Ketua Pengarah JPJ, Shaharuddin Khalid lepas jawatan sebagai Presiden SMTrack | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Ketua Pengarah JPJ, Shaharuddin Khalid lepas jawatan sebagai Presiden SMTrack

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 JunSMTrack Berhad mengumumkan peletakan jawatan Presidennya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkuat kuasa pada 9 Jun 2026 atas alasan ada komitmen kerja yang lain.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut berkata, beliau turut melepaskan jawatan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif selepas hampir enam tahun bersama kumpulan berkenaan.


Shaharuddin, 65 juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menyertai Lembaga Pengarah SMTrack pada 8 Oktober 2020 sebelum dilantik sebagai Pengerusi pada 19 Oktober tahun sama.


"Beliau merupakan antara tokoh yang berpengalaman luas terutamanya sektor pengangkutan, tadbir urus dan penguatkuasaan integriti negara dengan lebih empat dekad dalam perkhidmatan awam," katanya.


Selain itu, Shahruddin dikenali menerusi peranannya di JPJ, yang bertanggungjawab mengawasi operasi jabatan, pengurusan kewangan, pentadbiran serta pelaksanaan inisiatif integriti dan aspek pematuhan.


 

SMTrack_DagangNews2026



Tambah SMTrack, sebelum itu, beliau pernah berkhidmat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 1984 dan kerjayanya turut meningkat sehingga memegang jawatan pengarah pada 2004.


Di samping itu jelas kumpulan berkenaan lagi, Shaharuddin turut pernah dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Pematuhan ketika bertugas di Felda Global Ventures Berhad (FGV) antara 2010 hingga 2016.


"Sepanjang dalam sektor awam, beliau memainkan peranan memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang trafik, menambah baik sistem pendaftaran dan pelesenan kenderaan serta kualiti integriti," katanya.


Kata SMTrack, Shaharuddin memiliki Ijazah Sarjana Keadilan Jenayah dari University of New Haven, Connecticut, Amerika Syarikat (AS) dan Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan dari Universiti Malaya.


Beliau tiada sebarang hubungan kekeluargaan dengan mana-mana pengarah atau pemegang saham utama syarikat serta tidak mempunyai konflik kepentingan urusan perniagaan kumpulan. - DagangNews.com