Permintaan tinggi sarung tangan Kossan imbangi kenaikan kos nitril pada 2QFY26, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan tinggi sarung tangan Kossan imbangi kenaikan kos nitril pada 2QFY26, kata Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 Jun — Peningkatan permintaan dan jualan sarung tangan dijangka dapat membantu Kossan Rubber Industries Berhad mengimbangi kesan kenaikan mendadak harga bahan mentah nitril.

 

Menurut Phillip Capital, perkembangan positif itu menyokong pertumbuhan pendapatan pada suku kedua FY26 mengharungi ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah yang menjejaskan stok bahan mentah.


Walaupun harga nitril melonjak kepada antara AS$1,500 (RM6,094) satu tan pada April hingga Mei 2026 berbanding AS$700 (RM2,844) pada Mac lalu, kumpulan itu masih lagi berada pada kedudukan yang baik.


"Keadaan ini berikutan momentum jualan yang dicatatkan semakin kukuh dan kadar penggunaan kapasiti kilang Kossan dijangka terus melepasi paras 80%," kata firma penyelidikan tersebut dalam notanya.


Ujar Phillip Capital, pendapatan suku kedua 2026 dijangka mencatat pertumbuhan sederhana berbanding suku sebelumnya, disokong oleh peningkatan jumlah jualan serta kadar semasa penggunaan kilang.


Lonjakan harga nitril jelasnya, mendorong harga jualan purata (ASP) sarung tangan syarikat itu naik kepada AS$29 (RM118) bagi setiap 1,000 keping berbanding cuma AS$16 (RM65) pada suku pertama 2026.


Bagaimanapun, pengurusan Kossan memaklumkan harga nitril mula menyusut dengan pembetulan melebihi 10% daripada paras puncak pada Mei dan dijangka terus normal menjelang Ogos hingga September 2026.


"Kami menjangkakan tiada kejutan besar terhadap prestasi kewangan pada separuh kedua tahun ini kerana faktor ASP dan kos bahan mentah diunjurkan bergerak lebih stabil," kata Phillip Capital.



Kossan_DagangNews2026


Harga Sarung Tangan Bilik Bersih Lebih Mahal

Pasaran Amerika Syarikat (AS) kekal penyumbang terbesar kepada jualan kumpulan mewakili kira-kira 60% daripada jumlah volum jualan, manakala selebihnya disumbangkan pasaran Eropah dan Jepun.


Dalam perkembangan lain jelas firma penyelidikan berkenaan, segmen sarung tangan bilik bersih terus dilihat akan tetap menyokong Kossan sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang syarikat tersebut.


Phillip Capital berkata, walaupun menyumbang 6% kepada hasil pada 1QFY2026, segmen itu menawarkan ASP tiga kali lebih berbanding sarung tangan biasa dengan mencatat jualan tahunan 400 juta keping.


"Pengurusan menyasarkan jumlah jualan segmen itu digandakan pada 2027, dipacu permintaan daripada industri berasaskan semikonduktor, elektronik dan teknologi yang berketepatan tinggi," jelasnya.


Pada masa sama, Kossan mempercepatkan pelaksanaan automasi dengan 50% fasiliti pengeluaran beroperasi automatik meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kebergantungan pekerja asing.


Sehubungan itu, Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan berkenaan dengan harga sasaran (TP) selama tempoh 12 bulan akan datang diunjur tidak berubah pada RM1.40 sesaham.


Firma itu turut menekankan kedudukan tunai bersih syarikat yang kukuh sebanyak RM1.6 bilion memberi fleksibiliti untuk kumpulan tersebut mempertimbangkan pembayaran dividen khas pada masa hadapan.


"Antara risiko utama dipantau termasuk kemasukan semula pengeluar sarung tangan China, jualan lebih perlahan daripada jangkaan serta kenaikan kos bahan mentah," katanya. - DagangNews.com