MyCC umum keputusan cadangan terhadap 7 syarikat berhubung penipuan bidaan tender Mindef bernilai RM21 juta | DagangNews Skip to main content

MyCC umum keputusan cadangan terhadap 7 syarikat berhubung penipuan bidaan tender Mindef bernilai RM21 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Dis - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengumumkan keputusan cadangan terhadap tujuh syarikat yang didakwa terlibat dalam penipuan bidaan empat tender bagi penyediaan barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan bernilai kira-kira RM20.8 juta.

 

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, syarikat yang terlibat dalam amalan penipuan bidaan ialah:

  • Agenda Ekslusif Sdn Bhd
  • Nekad Waja Resources
  • Star Apax Enterprises
  • Prospectrum Sdn Bhd
  • Spectron Sdn Bhd
  • Teknokrat Makmur Enterprise
  • NK Panorama Enterprise

 

MyCC berkata, kesemua perusahaan itu boleh mengemukakan representasi bertulis mereka dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian keputusan yang dicadangkan.

 

"Mereka juga mempunyai pilihan membentangkan jawapan mereka secara lisan pada masa akan datang, yang akan ditentukan selepas menerima penyerahan bertulis mereka

 

""Adalah penting untuk dimaklumkan bahawa penemuan MyCC adalah di peringkat awal dan tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar Akta Persaingan 2010 pada peringkat ini," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, pihaknya komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menghapuskan kartel penipuan bidaan, sejajar dengan aspirasi kerajaan.

 

“Kami menganggap aktiviti kartel sebagai kejahatan tertinggi dalam undang-undang persaingan. 

 

"MyCC kekal berdedikasi untuk siasatan berterusan kami terhadap kartel penipuan bidaan dan menjangkakan mengeluarkan lebih banyak keputusan dalam beberapa bulan akan datang.

 

"Pasukan penyiasat MyCC yang berdedikasi bekerja bagi membongkar kartel penipuan bidaan yang berbahaya ini.

 

"Penyelidikan meluas dan analisis teliti mereka telah membawa kepada penyiasatan kes melibatkan lebih 500 syarikat untuk tender bernilai lebih RM2 bilion.

 

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan atas keterbukaan dan kerjasama yang sangat baik," katanya. - DagangNews.com