Wasiyyah Cipta Sejarah Pendigitalan Hibah, Diiktiraf Malaysia Book of Records | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasiyyah Cipta Sejarah Pendigitalan Hibah, Diiktiraf Malaysia Book of Records

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Sebagai kolumnis Anekdot Mawarith, artikel ini merupakan tulisan saya yang ke-252. Ia bukan sekadar satu catatan peribadi, tetapi satu refleksi perjalanan panjang Wasiyyah dalam membawa perubahan bermakna kepada landskap perancangan harta pusaka umat Islam di Malaysia dan dunia.

 

Selepas melalui pengalaman getir pandemik COVID-19, di mana akad secara fizikal dan penggunaan dokumen kertas tidak dapat dijalankan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Wasiyyah telah mengorak langkah berani dengan melancarkan aplikasi mudah alih Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) pada tahun 2023.

 

Aplikasi ini merupakan aplikasi akad hibah digital tanpa kertas yang pertama di dunia. Keseluruhan pembangunan sistem ini dilaksanakan oleh anak muda tempatan yang merupakan kakitangan sepenuh masa Wasiyyah.

 

Kami memilih untuk membina kepakaran dari dalam, bukan sekadar membeli teknologi dari luar, kerana kami percaya inovasi yang mampan mesti berakar daripada kefahaman mendalam terhadap masalah umat.

 

Namun, teknologi semata-mata tidak mencukupi.

 

Selain aspek teknologi, Wasiyyah telah menjalankan kajian akademik yang mendalam tentang kebolehgunaan aplikasi mudah alih ini dari sudut hukum Syariah bagi memastikan ia patuh Syariah sepenuhnya.

 

Sesi libat urus bersama pakar undang-undang Syariah dan Sivil turut diadakan bagi memastikan sistem yang dibangunkan selari dengan prinsip Syariah serta kehendak undang-undang sedia ada.


 

Wasiyyah

 


Melalui UsraHDD, pemberi dan penerima hibah boleh melaksanakan akad hibah melalui telefon bimbit mereka secara masa nyata, walau di mana pun mereka berada di seluruh dunia.

 

Sebaik sahaja akad disempurnakan, rekodnya akan disimpan secara selamat di dalam sistem awan. Tiada sebarang kertas dicetak. Pemberi dan penerima hibah boleh merujuk semula akad hibah yang telah disempurnakan pada bila-bila masa melalui sistem tersebut.

 

Inovasi ini selari dengan strategi ESG Wasiyyah, khususnya dalam aspek kelestarian alam sekitar dan tadbir urus yang baik. Pengurangan penggunaan kertas, kecekapan proses serta ketelusan rekod adalah sebahagian daripada usaha kami untuk beroperasi secara mapan dan lestari, di samping bergerak ke arah pendigitalan sepenuhnya.

 

Alhamdulillah, sejak dilancarkan, lebih daripada 15,000 pelanggan telah menggunakan kaedah ini dan sambutan daripada masyarakat semakin menggalakkan, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

 

Apa yang lebih membanggakan, penggunaan akad UsraHDD ini telahpun mendapat pengesahan hibah daripada Mahkamah Syariah, sekali gus membuktikan keabsahan dan kebolehterimaan hibah digital dari sudut perundangan Islam.

 

Kenapa pendigitalan penting?

Sebagai inovator industri ini sejak tahun 2004, Wasiyyah tidak pernah berhenti berevolusi. Kami sedar bahawa masalah harta pusaka orang Islam di Malaysia semakin hari semakin kompleks.

 

Kami tidak bersaing dengan sesiapa. Fokus kami hanyalah satu — menjadikan urusan perancangan harta lebih mudah, lebih patuh Syariah dan lebih relevan dengan realiti semasa.

 

Dengan portfolio harta orang Islam yang semakin kompleks, undang-undang penghartaan yang semakin ketat serta fabrik sosial kekeluargaan yang semakin rapuh, urusan perancangan harta tidak akan menjadi lebih mudah pada masa hadapan.

 

Atas sebab itu, selain meningkatkan kesedaran, masyarakat perlu diberikan akses yang mudah untuk melaksanakan akad hibah. UsraHDD ialah jawapan kepada keperluan tersebut.

 

Proses hibah secara tradisional melalui dokumen bercetak, majlis akad fizikal, kehadiran pemberi dan penerima serta tandatangan di hadapan dua orang saksi masih relevan dan sah dari sudut Syariah.


 

solar

 


Namun realitinya, kaedah ini semakin kurang membantu dalam dunia hari ini yang bergerak pantas dan tanpa sempadan.

 

Pengalaman PKP mengajar kami bahawa proses tradisional sangat mudah terjejas apabila berlaku krisis. Ditambah pula dengan keadaan sosial hari ini, di mana mobiliti ahli keluarga sangat tinggi kerana belajar, bekerja dan menetap di luar negara, akad hibah secara digital bukan lagi satu kemahuan, tetapi satu keperluan.

 

Fintech hibah

Generasi muda hari ini, dan pastinya generasi masa hadapan, sangat selesa dengan teknologi. Mereka membeli-belah, memesan makanan, mencari pekerjaan, malah mencari jodoh melalui aplikasi digital. Hampir semua urusan kehidupan boleh berlaku dengan sentuhan di hujung jari.

 

Maka, perancangan harta tidak boleh kekal secara tradisional. Atas sebab itu, Wasiyyah telah meningkatkan keupayaan UsraHDD dengan menjadikannya sebuah sistem inovatif bercirikan fintech, yang membolehkan akad hibah dilaksanakan pada bila-bila masa tanpa kekangan fizikal dan geografi.

 

UsraHDD versi fintech hari ini membolehkan umat Islam melaksanakan akad hibah di mana-mana lokasi di seluruh dunia, pada bila-bila masa — hatta pada jam 3 pagi sekalipun.

 

Sistem ini juga memberi fleksibiliti kepada pemberi hibah untuk membatalkan hibah sekiranya terdapat keperluan yang dibenarkan oleh Syariah. Akad hibah fintech ini tersedia secara automatik di dalam aplikasi mudah alih UsraHDD, menjadikannya mudah, pantas dan terkawal.

 

Pendigitalan bukan bermaksud mempermudah hukum. Ia adalah usaha mempermudah dan mempercepatkan pelaksanaan hukum.

 

Pengiktirafan Malaysia Book of Records

Pada 7 Februari lalu, Wasiyyah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Malaysia’s First Hibah Fintech-based Platform.


 

Wasiyyah


 

Iktisad


 

Wasiyyah

 


Pengiktirafan ini bukan sekadar satu pencapaian simbolik, tetapi satu pengesahan bahawa inovasi patuh Syariah boleh bergerak seiring dengan kemajuan teknologi. Wasiyyah berbangga kerana diberi amanah untuk menerajui usaha ini di Malaysia.

 

Pengiktirafan ini sekali gus mengekalkan reputasi Wasiyyah sebagai perintis dan inovator dalam industri perancangan harta patuh Syariah di Malaysia.

 

Lebih penting, ia membawa mesej jelas bahawa Islam tidak pernah ketinggalan dalam mendepani perubahan zaman, asalkan prinsipnya dijaga dan maqasidnya dipelihara.

 

Bagi kami di Wasiyyah, pendigitalan bukan destinasi terakhir. Ia hanyalah satu wasilah untuk mencapai matlamat yang lebih besar — memastikan harta umat Islam terurus, keluarga terpelihara dan konflik dapat dielakkan. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd