Konflik Timur Tengah dikhuatiri tambah RM1.1 bilion kos diesel industri pembinaan pada 2026 - Juwai IQI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Konflik Timur Tengah dikhuatiri tambah RM1.1 bilion kos diesel industri pembinaan pada 2026 - Juwai IQI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 JulaiJuwai IQI menganggarkan konflik berterusan di Timur Tengah dikhuatiri meningkatkan lagi kos diesel industri pembinaan Malaysia sebanyak RM1.1 bilion sepanjang tahun ini.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kashif Ansari berkata, unjuran itu sekiranya harga diesel kekal tinggi, sekali gus memberi tekanan kepada kos pembinaan rumah jenis mampu milik. 

 

Peningkatan kos itu bersamaan RM2,000 bagi setiap rumah baharu yang dibina, tetapi jumlah tersebut masih berada pada tahap boleh ditangani tanpa menjejaskan pembangunan keseluruhan sektor perumahan.

 

"Sehubungan itu, kami berpandangan cabaran tersebut masih boleh diuruskan menerusi penambahbaikan dasar subsidi serta langkah kecekapan yang dilakukan pemain industri," jelasnya dalam kenyataan.

 

Kashif berkata, berdasarkan data harga mingguan diesel Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), harga sebelum konflik bermula ialah RM3.04 seliter, namun selepas itu naik 57.7% kepada RM4.80 seliter.

 

Menurutnya, jika kenaikan purata itu berterusan hingga akhir tahun, industri pembinaan dijangka menanggung kos tambahan RM25 juta seminggu, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM1.1 bilion.

 

KASHIF ANSARI
KASHIF ANSARI

 

Pada kemuncaknya, harga diesel mencapai RM6.72 seliter bagi minggu berakhir 9 April 2026, dan memberi tekanan besar kepada operasi pembinaan yang bergantung tinggi kepada penggunaan jentera berat.

 

"Juwai IQI menganggarkan sektor pembinaan menggunakan 1.4 bilion liter diesel setahun, dengan kira-kira 740 juta liter atau separuh daripada jumlah itu dibeli pada harga pasaran tanpa subsidi," ujar Kashif.

 

Walaupun sebahagian kenderaan komersial menikmati subsidi diesel berharga RM2.15 seliter, banyak jentera luar jalan seperti jengkaut, kren, pelantar cerucuk dan penjana elektrik tidak menerimanya.

 

Beliau berpandangan kerajaan boleh memperluaskan skim subsidi itu dengan memasukkan trak konkrit siap bancuh, lori pengadun konkrit dan kren kerana kenderaan tersebut memainkan peranan penting.

 

Selain itu, Kashif mencadangkan kuota subsidi diesel ditingkatkan kepada kontraktor yang beroperasi di kawasan luar bandar kerana menempuh jarak perjalanan jauh dan menggunakan banyak bahan api.

 

"Langkah penambahbaikan lebih bersasar itu bukan sahaja mampu mengurangkan jurang, malah industri dapat menyerap kenaikan kos bahan api tanpa beban tersebut dipindah kepada pembeli rumah," katanya.

 

Pada masa sama, Juwai IQI menggesa syarikat pembinaan memastikan kenderaan yang layak didaftarkan di bawah skim subsidi bagi mengurangkan impak kenaikan harga diesel. - DagangNews.com