KUALA LUMPUR 21 Julai – OGX Group Berhad menerusi anak syarikat milik tidak langsungnya, OGX Sdn Bhd (OSB), mencadangkan pengambilalihan sebuah hartanah industri di Mukim Damansara, Daerah Petaling, Selangor daripada TriSystems Engineering Sdn Bhd (TESB) bernilai RM19 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, OGX berkata cadangan pengambilalihan itu melibatkan sebuah gudang tiga tingkat bersama bangunan pejabat empat tingkat, selain sebuah pondok pengawal yang dibina atas sebidang tanah pegangan bebas.
Hartanah berkenaan yang terletak di atas tanah berkeluasan 4,086 meter persegi itu akan dijadikan ibu pejabat baharu OGX selepas kerja pengubahsuaian dan pemasangan dalaman selesai.
Menurut syarikat itu, cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan penggunaan hasil tawaran awam permulaan (IPO) seperti dinyatakan dalam prospektusnya, dengan RM30 juta daripada hasil IPO diperuntukkan bagi pembelian ibu pejabat baharu termasuk kos ubah suai dan kerja dalaman berkaitan.
OGX menjelaskan operasi kumpulan ketika ini dijalankan di dua unit kilang tiga tingkat di Bukit Jelutong, Shah Alam dengan keluasan binaan keseluruhan kira-kira 14,000 kaki persegi yang menempatkan pejabat korporat serta kemudahan gudang.
Ruang operasi semakin terhad
Seiring perkembangan perniagaan, OGX berkata kemudahan sedia ada semakin tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi kumpulan, khususnya dari segi ruang pejabat dan kapasiti penyimpanan.
Kekangan ruang pejabat menyebabkan syarikat melaksanakan konsep perkongsian ruang kerja iaitu pekerja tidak mempunyai meja tetap dan menggunakan ruang kerja yang tersedia mengikut keperluan bagi mengoptimumkan penggunaan ruang.
Selain itu, gudang sedia ada juga kini beroperasi pada tahap hampir penuh, terutama bagi menyimpan produk infrastruktur teknologi maklumat (IT), menyebabkan OGX perlu menggunakan khidmat penyimpanan pihak ketiga yang meningkatkan kos operasi.
OGX berkata ibu pejabat baharu itu akan menghimpunkan operasi kumpulan di satu lokasi dengan menyediakan ruang pejabat lebih besar serta kemudahan gudang yang lebih luas dilengkapi produk infrastruktur IT kepada pelanggan.
Pengambilalihan itu turut memberi ruang kepada OGX untuk menyokong rancangan pengembangan perniagaan pada masa depan, termasuk penyediaan ruang khusus bagi potensi penerokaan perniagaan baharu dalam segmen perkhidmatan IT.
Berdasarkan penilaian Laurelcap Sdn Bhd bertarikh 20 Julai 2026, nilai pasaran hartanah tersebut dianggarkan sebanyak RM19.5 juta, menjadikan harga pembelian RM19 juta lebih rendah kira-kira RM500,000 atau 2.56% berbanding nilai pasaran.
OGX berkata harga pembelian itu akan dibiayai sepenuhnya menggunakan sebahagian daripada hasil IPO yang telah diperuntukkan untuk pemerolehan ibu pejabat baharu, manakala kos ubah suai akan menggunakan peruntukan hasil IPO berkaitan kerja menaik taraf fasiliti tersebut.
Cadangan pengambilalihan itu masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham OGX melalui mesyuarat agung luar biasa serta pemenuhan syarat-syarat lain dalam perjanjian jual beli.
Sekiranya semua proses berjalan lancar, OGX menjangkakan urus niaga tersebut dapat diselesaikan pada suku keempat 2026. Syarikat berpandangan pengambilalihan itu akan membantu memperkukuhkan keupayaan operasi kumpulan serta menyokong pertumbuhan perniagaan dalam jangka panjang. - DagangNews.com








