Saya telah berada dalam industri perancangan harta di Malaysia sejak 1998.
Jika dahulu saya sering menemui pihak yang mengatakan bahawa apabila seseorang menyediakan dokumen wasiat, maka semua urusan harta pusaka akan selesai, hari ini saya pula berhadapan dengan pihak yang mendakwa bahawa apabila seseorang telah membuat dokumen hibah, semua urusan juga dianggap selesai.
Bagi mereka, dokumen itulah penyelesaian kepada semua isu.
Apabila naratif seperti ini dibawa kepada masyarakat, kekeliruan mula timbul. Masyarakat diberitahu bahawa sebaik sahaja dokumen wasiat atau hibah disediakan, segala urusan selepas kematian akan selesai dan tiada lagi perkara yang perlu dirisaukan.
Naratif terlalu mudah tentang wasiat dan hibah
Pembaca yang mengikuti penulisan saya sejak lebih 10 tahun lalu, bermula di Utusan Malaysia yang dikendalikan oleh Editor Johardy Ibrahim sehinggalah kini di DagangNews.com, pasti menyedari bahawa saya sentiasa menolak naratif tersebut.
Saya berpegang teguh kepada prinsip bahawa masyarakat mesti diberikan penjelasan secara full disclosure mengenai apa yang bakal dilalui oleh waris selepas seseorang menyediakan dokumen wasiat atau hibah.
Mengapa prinsip ini penting? Kerana kerja ini bukan sekadar satu perniagaan, tetapi juga satu dakwah. Apabila ia menjadi dakwah, maka amanah untuk memberikan penerangan yang lengkap dan jujur menjadi satu tanggungjawab.
Hakikatnya, masih terdapat kos yang perlu ditanggung oleh waris.
Walaupun seseorang telah menyediakan wasiat atau hibah, apabila dokumen-dokumen tersebut hendak dilaksanakan, masih terdapat proses perundangan yang perlu dilalui. Justeru, tidak tepat jika dikatakan bahawa segala urusan selesai hanya dengan menyediakan dokumen berkenaan.
Saya juga melihat apabila semakin ramai pihak memasuki industri ini, atas faktor persaingan dan mungkin bagi menarik hati pelanggan, semakin ramai yang tidak mendedahkan implikasi kos selepas kematian.
Kos guaman tetap perlu dibayar
Mereka memudahkan kefahaman masyarakat dengan mengatakan bahawa menyediakan dokumen wasiat atau hibah sudah memadai. Bayarlah sekadar kos penyediaan dokumen yang kelihatan murah.
Hakikatnya, bagi wasiat, dokumen tersebut perlu melalui proses pengesahan di Mahkamah Tinggi Sivil bagi urusan pelantikan wasi. Jika melibatkan wasiat pembahagian harta kepada waris atau bukan waris, ia juga perlu melalui Mahkamah Tinggi Syariah.
Kedua-dua proses ini bukan percuma. Waris perlu melantik peguam sivil bagi urusan di Mahkamah Tinggi Sivil dan peguam syarie bagi urusan di Mahkamah Tinggi Syariah. Fi guaman akan dikenakan dan lazimnya perlu didahulukan oleh waris.
Bagi hibah pula, terdapat keadaan tertentu yang memerlukan pengesahan Mahkamah Tinggi Syariah, seperti apabila timbul bantahan daripada pihak lain atau penerima hibah merupakan anak angkat atau bukan waris.
Dalam keadaan tersebut, waris juga perlu melantik peguam syarie. Sekali lagi, fi guaman perlu didahulukan oleh waris.
Walaupun secara prinsip kos-kos ini boleh ditolak daripada harta pusaka atau dituntut semula daripada waris lain, hakikatnya ia hanya boleh dibuat selepas keseluruhan proses pentadbiran harta pusaka selesai dan harta telah diterima oleh pentadbir atau waris.
Tempohnya? Mungkin mengambil masa beberapa tahun.
Fi syarikat amanah pula bagaimana?
Selain kos guaman yang dalam keadaan tertentu memang tidak dapat dielakkan, terdapat juga fi pengurusan harta pusaka sekiranya syarikat amanah dilantik sebagai wasi.
Di pasaran, fi ini lazimnya bermula daripada 0.5 peratus sehingga 4 peratus daripada nilai kasar harta pusaka sebelum ditolak hutang.
Sebagai contoh, jika fi yang dikenakan ialah 2 peratus dan nilai kasar harta pusaka berjumlah RM5 juta, termasuk hartanah, kenderaan, wang simpanan, pelaburan dan aset lain, maka fi pengurusan harta pusaka ialah RM100,000.
Dari manakah RM100,000 itu akan diambil?
Sekiranya terdapat wang tunai yang mencukupi dalam harta pusaka, syarikat amanah sebagai wasi boleh menolak fi tersebut kerana wang tunai si mati akan diterima terlebih dahulu oleh wasi.
Fi RM100,000 itu juga tidak termasuk fi guaman, fi carian hartanah, kos percetakan, fi pembukaan fail serta pelbagai fi lain yang berkaitan dengan proses pengurusan harta pusaka.
Persoalannya, bagaimana jika tiada wang tunai yang mencukupi? Atau bagaimana jika harta pusaka yang ditinggalkan hanyalah hartanah tanpa sebarang simpanan tunai?
Jawapannya mudah. Warislah yang perlu menanggung fi tersebut.
Ini membawa kepada persoalan yang lebih penting, adakah waris benar-benar mampu menanggung kos berkenaan?
Perlu saya jelaskan bahawa fi pengurusan harta pusaka yang dikenakan oleh syarikat amanah adalah munasabah kerana mereka memikul tanggungjawab sebagai wasi mengikut undang-undang.
Mereka telah dilantik sendiri oleh pelanggan melalui wasiat semasa hayatnya.
Akta Probet dan Pentadbiran 1959, Seksyen 43, turut memperuntukkan bahawa wasi boleh mengenakan fi sehingga 4 peratus daripada nilai harta pusaka sebagai bayaran bagi perkhidmatan mereka.
Penyelesaian yang ditawarkan Wasiyyah
Wasiyyah memahami beban kewangan yang mungkin terpaksa ditanggung oleh waris.
Bagi isteri yang merupakan suri rumah, mempunyai anak-anak di bawah umur 18 tahun, anak yang masih belajar atau waris yang kurang berkemampuan, kos pengurusan harta pusaka boleh menjadi satu beban yang besar.
Atas sebab itu, Wasiyyah memperkenalkan konsep Tabung Tabarru' Pusaka.
Semua pelanggan menyumbang ke dalam tabung tersebut dan berakad untuk saling membantu menanggung kos pengurusan harta pusaka semua peserta.
Konsep ini patuh Syariah dan telah diluluskan oleh Panel Syariah Wasiyyah yang berpengalaman dalam bidang fiqh mawarith dan muamalat.
Kontrak perkhidmatan antara Wasiyyah dan pelanggan juga menyatakan dengan jelas bahawa tanggungjawab Wasiyyah adalah membantu waris pelanggan melalui proses pengurusan harta pusaka atau pengesahan hibah tanpa mengenakan sebarang fi.
Fi guaman, fi carian hartanah serta fi-fi lain yang lazimnya dicaj kepada harta pusaka atau waris akan ditanggung melalui Tabung Tabarru' yang disumbangkan bersama oleh para pelanggan.
Wasiyyah merupakan satu-satunya syarikat amanah di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka dan pengesahan hibah tanpa mengenakan sebarang fi kepada waris pelanggan.
Melalui perkhidmatan Wasiyyah, pelanggan bukan sekadar membayar untuk mendapatkan dokumen wasiat atau hibah, malah turut berkontrak bagi mendapatkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka dan pengesahan hibah untuk waris mereka pada masa hadapan.
Jangan hanya melihat kepada dokumen
Sebagai syarikat amanah berdaftar, Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah menetapkan bahawa Wasiyyah perlu terus beroperasi dan tidak boleh menghentikan operasinya kecuali dengan kebenaran Mahkamah Tinggi Sivil.
Dalam membuat pertimbangan tersebut, mahkamah akan mengambil kira sama ada semua tanggungjawab Wasiyyah terhadap lebih 100,000 pelanggannya telah disempurnakan.
Dalam erti kata lain, Wasiyyah tidak boleh sewenang-wenangnya menghentikan operasinya.
Ini bermakna selepas 10, 15 atau 30 tahun, malah selepas saya sendiri tiada lagi, Wasiyyah masih akan berada di situ untuk memberikan perkhidmatan tanpa fi kepada waris pelanggan.
Saya sendiri pernah bermesyuarat dengan sebuah syarikat amanah swasta yang telah beroperasi selama lebih 150 tahun di Australia.
Justeru, apabila ada pihak yang mengatakan bahawa menyediakan dokumen wasiat atau hibah sahaja sudah mencukupi untuk menyelesaikan semua masalah, fikirkan juga tentang isu kos yang telah saya huraikan.
Adakah anda mahu waris anda menanggung semua beban tersebut? - DagangNews.com









