Industri kewangan Islam bukan sekadar beroperasi berlandaskan prinsip komersial semata-mata, malah berteraskan kerangka pematuhan Syariah yang utuh dan menyeluruh.
Setiap urus niaga, produk mahupun operasi yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam (IFI) wajib mematuhi prinsip Syariah sepenuhnya.
Namun begitu, realiti ekosistem kewangan global hari ini yang turut melibatkan elemen konvensional sering menimbulkan cabaran dalam mencapai pematuhan Syariah secara mutlak.
Lantaran itu, Syariah mengiktiraf konsep Hajah (keperluan) dan darurah (keperluan mendesak) sebagai panduan dalam situasi tertentu apabila pengecualian daripada sesuatu hukum Syariah boleh diguna pakai berdasarkan parameter yang jelas.
Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan Policy Document on Hajah and Darurah pada 3 Januari 2024 yang berkuat kuasa mulai 2 Januari 2025. Dokumen polisi ini digubal bagi memperjelas parameter penggunaan Hajah dan darurah dalam perniagaan kewangan Islam, selaras dengan prinsip asas Syariah.
Asas hukum dalam kewangan Islam: Ilahiah dan fiqh
Sebelum memahami Hajah dengan lebih mendalam, adalah penting untuk mengetahui bahawa hukum yang diguna pakai dalam kewangan Islam terdiri daripada dua jenis utama.
Pertama, hukum ilahiah (divine ruling), iaitu hukum yang bersumber secara langsung daripada al-Quran dan al-Hadis. Kedua, hukum fiqh yang dirumuskan oleh para mujtahid melalui proses ijtihad yang turut bersumberkan al-Quran dan al-Hadis, termasuk menerusi kaedah ijmak (konsensus ulama) dan qiyas (analogi).
Apabila timbul sesuatu isu berkaitan muamalat, para sarjana Syariah akan bermesyuarat, berbincang dan mengeluarkan hukum untuk dijadikan panduan dalam industri.
Dalam proses ijtihad ini, sebarang keputusan yang dibuat perlu mencapai maqasid Syariah, iaitu mengelakkan kemudaratan dan memperoleh manfaat demi mencapai kemaslahatan.
Para sarjana mengenal pasti tiga kategori keperluan yang perlu dipertimbangkan sebelum sesuatu keputusan dibuat, iaitu:
Daruriyyat — Darurah: Keperluan asas yang wajib dipelihara, seperti agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Hajiyyat — Hajah: Keperluan yang jika tidak dipenuhi akan menimbulkan kesempitan atau kesukaran, namun tidak sampai ke tahap darurat.
Tahsiniyyat — Tahsiniah: Keperluan pada tahap kesempurnaan yang melengkapkan adab dan kemaslahatan.
Dokumen Hajah and Darurah Policy Document BNM memperkenalkan pendekatan dari perspektif fiqh dengan mengklasifikasikan Hajah kepada dua jenis. Pengelasan ini penting bagi memastikan sebarang pengecualian daripada hukum Syariah dilakukan secara berhemah, terkawal dan selaras dengan maqasid Syariah.
Perbezaan antara Hajah Jenis 1 dengan Hajah Jenis 2 bukan sekadar bersifat akademik, malah mempunyai implikasi praktikal terhadap tadbir urus, akauntabiliti dan proses kelulusan dalam sesebuah IFI.
Hajah Jenis 1: Keperluan umum industri
Hajah Jenis 1 merujuk kepada situasi apabila kesukaran yang dihadapi sukar dielakkan dan diiktiraf sebagai amalan lazim dalam industri kewangan Islam.
Berikut merupakan ciri utama Hajah Jenis 1:
1. Sifat kesukaran (nature of hardship)
Kesukaran yang timbul bersifat sukar dielakkan dan diiktiraf secara meluas dalam amalan komersial. Ia merupakan realiti operasi yang dihadapi oleh majoriti IFI.
2. Liputan (coverage)
Hajah Jenis 1 meliputi keperluan umum industri. Ia dialami oleh kebanyakan IFI dan bukan terhad kepada sesebuah institusi sahaja.
3. Hukum Syariah sedia ada
Terdapat hukum Syariah yang telah ditetapkan secara umum. Hajah Jenis 1 dibenarkan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) tanpa sekatan yang ketat.
4. Tempoh (duration)
Hajah Jenis 1 berterusan sehingga hukum atau polisi berkaitan disemak semula. Ia bukan bersifat sementara, sebaliknya kekal selagi keadaan yang menjustifikasikan penggunaannya masih wujud.
5. Contoh yang diberikan oleh BNM
BNM memberikan contoh penggunaan penyelesaian T+2 dalam pertukaran mata wang (currency exchange) dan akaun nostro. Apabila sesebuah IFI di Malaysia ingin menawarkan produk dan perkhidmatan dalam pelbagai mata wang, institusi tersebut perlu membuka akaun nostro dengan bank koresponden di negara lain.
Walau bagaimanapun, akaun nostro yang mematuhi Syariah mungkin tidak dapat dibuka di negara atau pasaran yang mempunyai sistem kewangan Islam yang terhad atau tidak mempunyai kemudahan sedemikian.
Keperluan untuk mematuhi Syariah secara mutlak dalam keadaan tersebut boleh menyebabkan IFI tidak dapat menawarkan perkhidmatan berkenaan, sekali gus menjejaskan peranan perantaraan kewangannya.
Hajah Jenis 2: Keperluan khusus institusi
Hajah Jenis 2 merujuk kepada situasi apabila kesukaran yang dialami bukan merupakan amalan komersial lazim dan bersifat khusus kepada sesebuah institusi.
Berikut merupakan ciri utama Hajah Jenis 2:
1. Sifat kesukaran (nature of hardship)
Kesukaran yang timbul bukan merupakan amalan komersial lazim. Ia tidak mencapai tahap darurat, tetapi merupakan kesukaran yang lebih khusus.
2. Liputan (coverage)
Hajah Jenis 2 meliputi keperluan khusus. Ia dialami oleh institusi tertentu sahaja dan bukan industri secara keseluruhannya.
3. Hukum Syariah sedia ada
Terdapat hukum Syariah bagi institusi atau penggunaan tertentu. Hajah Jenis 2 dibenarkan oleh MPS dengan beberapa sekatan.
4. Tempoh (duration)
Hajah Jenis 2 bersifat sementara dan tempohnya berpadanan dengan kerumitan isu yang dihadapi. Ia tidak berterusan tanpa batasan waktu.
5. Contoh yang diberikan oleh BNM
BNM memberikan contoh penyerahan risiko takaful kepada syarikat insurans semula (ceding takaful risk to a reinsurance company). Sekiranya pengendali takaful ingin memindahkan sebahagian risiko kepada syarikat insurans semula disebabkan kekurangan kapasiti retakaful untuk menyerap risiko berkenaan, tindakan tersebut boleh dibenarkan atas dasar Hajah.
Walau bagaimanapun, tindakan itu tertakluk kepada sekatan tertentu, bersifat sementara dan berpadanan dengan tahap kesukaran yang dihadapi.
| Dimensi | Hajah Jenis 1 | Hajah Jenis 2 |
|---|---|---|
| Skop | Keperluan industri secara keseluruhan | Keperluan khusus institusi |
| Sifat kesukaran | Sukar dielakkan, amalan lazim | Bukan amalan lazim |
| Tempoh | Berterusan sehingga disemak semula | Sementara, berpadanan dengan kerumitan |
| Kelulusan MPS | Tanpa sekatan ketat | Dengan sekatan tertentu |
Empat syarat sebelum Hajah boleh diguna pakai
Dokumen polisi BNM turut menetapkan syarat praaplikasi (preconditions) yang wajib dipenuhi sebelum Hajah boleh diguna pakai:
Memastikan wujudnya kesukaran secara pasti (certainty of hardship).
Keadaan tersebut memerlukan penyimpangan daripada prinsip atau hukum Syariah.
Tiada alternatif yang mematuhi Syariah atau alternatif tersebut tidak praktikal untuk diguna pakai.
Penggunaan Hajah tidak menyebabkan kemudaratan yang lebih besar atau setara kepada pihak berkepentingan.
Pengenalan Hajah Jenis 1 dan Hajah Jenis 2 menerusi Hajah and Darurah Policy Document BNM yang berkuat kuasa mulai 2 Januari 2025 merupakan langkah progresif yang memberikan kejelasan dan panduan kepada IFI dalam menentukan keadaan apabila Hajah boleh diguna pakai dalam perniagaan kewangan Islam.
Pemisahan yang jelas antara keperluan umum industri (Hajah Jenis 1) dengan keperluan khusus institusi (Hajah Jenis 2) membolehkan pengecualian daripada hukum Syariah dilaksanakan secara berhemah, terkawal dan selaras dengan maqasid Syariah.
Pendekatan ini secara langsung membantu memelihara integriti dan kredibiliti sektor kewangan Islam di Malaysia, di samping memastikan kemaslahatan ummah terus terpelihara.
Bagi para profesional, sarjana dan pemegang taruh dalam industri ini, pemahaman mendalam mengenai perbezaan kedua-dua kategori Hajah tersebut bukan sahaja penting dari sudut pematuhan, malah menjadi asas kepada tadbir urus Syariah yang mantap demi kelestarian industri kewangan Islam yang berlandaskan maqasid Syariah sebenar. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM









