KUALA LUMPUR 21 Julai – Prestasi jualan kenderaan yang mengatasi jangkaan pada separuh pertama 2026 mendorong Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak naik unjuran Jumlah Volum Industri (TIV) kepada 800,000 unit berbanding sasaran awal 790,000 unit.
Semakan itu dibuat selepas industri automotif mencatat jualan sebanyak 385,353 unit bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, meningkat 3% berbanding 373,636 unit dalam tempoh sama tahun lalu..
Peningkatan itu mencerminkan permintaan pengguna yang kekal stabil meskipun ekonomi global masih berdepan pelbagai ketidaktentuan.
Menurut MAA, pertumbuhan tersebut banyak dipacu oleh peningkatan minat terhadap kenderaan utiliti sukan (SUV), selain penerimaan yang semakin meluas terhadap kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan pengguna tempatan.
Berdasarkan unjuran terbaharu itu, segmen kenderaan penumpang dijangka menyumbang 744,000 unit daripada keseluruhan jualan, manakala kenderaan komersial dianggarkan sebanyak 56,000 unit.
Sebelum ini, MAA mengunjurkan jualan masing-masing pada paras 730,000 unit dan 60,000 unit.
Walaupun unjuran dinaikkan, jumlah itu masih belum dapat mengatasi pencapaian industri pada 2025 yang merekodkan jualan sebanyak 820,752 unit.
Permintaan EV Dan SUV Terus Menjadi Pemacu Pasaran
Seiring prospek pasaran yang lebih baik, MAA turut meningkatkan unjuran jualan EV kepada 120,000 unit berbanding sasaran awal 100,000 unit, menjadikan segmen itu mewakili kira-kira 15% daripada keseluruhan TIV yang dijangka dicapai tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan hibrid masing-masing dijangka menyumbang 60,000 unit, mencerminkan kedua-dua teknologi semakin mendapat tempat dalam pilihan pengguna.

MAA berkata, prestasi memberangsangkan industri sepanjang enam bulan pertama tahun ini disokong peningkatan jualan SUV sebanyak 19%, didorong pelancaran model baharu termasuk penawaran EV oleh Proton, selain lonjakan 69% dalam jualan keseluruhan semua kategori EV.
Di sebalik pertumbuhan itu, pengeluaran kenderaan turut menunjukkan peningkatan sederhana apabila Jumlah Pengeluaran Industri (TIP) meningkat 1.2% kepada 356,946 unit berbanding 352,626 unit yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengeluar nasional pula terus menguasai pasaran apabila Proton Holdings Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menguasai 67% bahagian pasaran atau bersamaan 256,304 unit, meningkat daripada 63% setahun lalu.
Daripada jumlah itu, Perodua menyumbang 41% manakala Proton sebanyak 25%, manakala jenama bukan nasional menguasai baki 33% atau 129,049 unit.
Segmen Kenderaan Komersial Masih Lemah
Bagaimanapun, MAA berkata, prestasi segmen kenderaan komersial masih belum pulih sepenuhnya apabila jualan, khususnya trak pikap, susut 11% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut persatuan itu, penurunan tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada penarikan subsidi diesel bagi pendaftaran persendirian yang menjejaskan permintaan, sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran bagi beberapa kategori kenderaan komersial.
Bagi separuh kedua 2026, MAA menjangkakan momentum jualan akan terus disokong oleh keyakinan pengguna yang kekal positif, akses pembiayaan yang stabil, pelancaran model baharu serta kempen promosi hujung tahun yang lazimnya merancakkan pasaran automotif.
MAA turut menjangkakan lanjutan penangguhan pelaksanaan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu sehingga 31 Disember 2026 akan terus menyokong momentum jualan kenderaan pada separuh kedua tahun ini.
Dalam masa sama, MAA mengingatkan industri automotif masih perlu berdepan beberapa risiko luaran termasuk perkembangan geopolitik, ketidaktentuan perdagangan global dan turun naik kadar pertukaran mata wang yang boleh mempengaruhi sentimen pengguna serta kos operasi pengeluar pada baki tahun ini. - DagangNews.com








