Dalam dunia moden hari ini, hampir semua perkara boleh dilakukan secara pukal dan ringkas. Produk dihasilkan secara besar-besaran, perkhidmatan ditawarkan dalam pakej standard, malah nasihat kewangan sering diberikan dalam bentuk template yang sama untuk semua orang.
Pendekatan ini mungkin sesuai untuk barangan pengguna atau perkhidmatan umum, tetapi persoalannya, adakah urusan perancangan harta dan pusaka juga sesuai diuruskan secara pukal? Jawapannya tidak.
Perancangan harta bukan sekadar mengisi borang atau menyediakan satu dokumen wasiat ringkas. Ia ialah proses menyusun amanah kehidupan seseorang yang melibatkan dimensi undang-undang, kewangan, emosi, hubungan kekeluargaan dan yang paling utama, pertanggungjawaban di sisi Allah SWT.
Setiap keluarga mempunyai dinamika yang berbeza. Tiada dua keluarga yang benar-benar sama walaupun kelihatan serupa pada zahirnya. Ada keluarga yang harmoni dan saling mempercayai antara satu sama lain.
Ada pula yang kelihatan tenang, tetapi menyimpan konflik lama yang tidak pernah diselesaikan. Ada anak yang stabil kewangannya dan mampu berdikari, manakala ada yang masih bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.
Struktur keluarga dan portfolio aset yang unik
Ada yang berpoligami, mempunyai anak angkat, anak istimewa atau ahli keluarga yang mempunyai keperluan khas.
Dalam situasi tertentu, terdapat perniagaan keluarga yang perlu diteruskan atau hartanah yang masih terikat dengan pembiayaan bank.
Bagaimana mungkin satu bentuk dokumen wasiat standard dapat menyelesaikan semua variasi ini secara adil dan berkesan?
Di sinilah pentingnya pendekatan butik yang menilai setiap kes secara individu, bukan berdasarkan kategori umum semata-mata. Inilah yang dilakukan oleh Wasiyyah sejak 22 tahun yang lalu.
Ramai yang melihat harta dari sudut jumlah dan nilai semata-mata. Mereka bertanya berapa banyak hartanah yang dimiliki, berapa nilai simpanan di bank atau berapa polisi takaful yang telah diambil. Namun dalam realiti pengurusan pusaka, struktur harta jauh lebih penting daripada jumlahnya.
Seseorang mungkin memiliki hartanah bernilai tinggi, tetapi jika ia masih dalam pembiayaan dan tidak dirancang dengan baik, waris mungkin terpaksa menanggung beban hutang atau menghadapi kesukaran dalam proses pertukaran hak milik.
Begitu juga dengan perniagaan keluarga yang berjaya. Tanpa struktur pemindahan pemilikan dan kuasa pengurusan yang jelas, kematian pengasas boleh menyebabkan operasi tergendala atau berlaku perebutan kuasa dalam kalangan waris.
Pendekatan butik akan meneliti setiap aset dan liabiliti secara terperinci, lalu menyusun strategi yang sesuai dengan struktur sebenar harta tersebut.
Faraid itu adil dan lengkap
Islam telah menyediakan prinsip faraid yang lengkap dan adil.
Namun dalam konteks kehidupan moden, pelaksanaan prinsip tersebut memerlukan kefahaman mendalam terhadap undang-undang tanah, prosedur mahkamah, peraturan institusi kewangan serta dokumentasi teknikal yang berkaitan.
Perancangan harta secara pukal biasanya hanya memastikan syarat minimum dipenuhi tanpa meneliti implikasi praktikal selepas kematian berlaku.
Pendekatan butik pula bukan sahaja memastikan pematuhan kepada hukum syariah, malah berusaha mencapai maqasidnya, iaitu memastikan keadilan terlaksana, kemaslahatan terpelihara dan konflik dapat diminimumkan.
Prinsip syariah ialah asas, tetapi strategi pelaksanaannya memerlukan pengalaman, kebijaksanaan dan perancangan yang rapi.
Sikap ambil mudah
Salah satu punca utama pusaka menjadi beku ialah sikap mengambil mudah semasa hidup. Ada yang merasakan cukup sekadar menyediakan wasiat ringkas atau menyerahkan sepenuhnya kepada perbincangan waris selepas ketiadaan mereka. Hakikatnya, konflik jarang berlaku ketika pemilik harta masih hidup.
Ia muncul apabila pemilik harta telah tiada dan emosi bercampur dengan kepentingan. Tanpa perancangan yang tersusun, waris mungkin berdepan proses yang panjang dan melelahkan, malah ada yang berakhir dengan pertikaian di mahkamah.
Pendekatan pukal tidak menilai potensi risiko ini secara mendalam. Sebaliknya, pendekatan butik merancang dengan mengambil kira kemungkinan yang paling mencabar kerana dalam pengurusan risiko, harapan semata-mata bukanlah satu strategi.
Bukan tidak percayakan waris
Perancangan harta juga merupakan satu tanggungjawab moral. Ia bukan tanda tidak percaya kepada anak-anak atau waris, tetapi tanda kasih sayang dan keprihatinan terhadap masa depan mereka.
Apabila seseorang merancang hartanya dengan teliti, beliau sebenarnya sedang melindungi hubungan kekeluargaan daripada potensi perpecahan.
Beliau sedang memastikan amanah yang dipikul sepanjang hayat tidak bertukar menjadi beban kepada generasi seterusnya.
Pendekatan butik mungkin memerlukan masa yang lebih panjang dan perbincangan yang lebih mendalam, tetapi hasilnya memberi ketenangan dan kepastian yang lebih kukuh.
Nilai sentimental setiap harta
Setiap harta mempunyai kisah tersendiri. Ada rumah yang dibina hasil penat lelah bertahun-tahun, ada tanah yang diwarisi daripada ibu bapa, ada syarikat yang diasaskan dari bawah sehingga menjadi sumber rezeki kepada ramai pekerja.
Semua ini bukan sekadar aset di atas kertas, tetapi simbol perjuangan dan pengorbanan. Pendekatan butik menghormati nilai sentimental dan niat di sebalik pemilikan harta tersebut. Ia cuba memahami apakah legasi yang ingin ditinggalkan dan bagaimana ia boleh diteruskan secara tersusun dan berkat.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan digital, struktur pemilikan harta juga menjadi lebih pelbagai. Terdapat aset digital, pelaburan dalam pelbagai instrumen kewangan serta transaksi yang merentas sempadan.
Keadaan ini menuntut pendekatan yang lebih inovatif dan fleksibel dalam perancangan harta. Pendekatan pukal yang bersifat generik sukar menangani kompleksiti ini dengan berkesan.
Sebaliknya, pendekatan butik mampu menyesuaikan strategi dengan perkembangan semasa selagi mematuhi prinsip syariah dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Perancangan harta adalah amanah kehidupan
Akhirnya, perancangan harta bukan sekadar soal menyediakan dokumen yang sah. Ia ialah usaha memastikan amanah kehidupan diurus dengan penuh tanggungjawab.
Jika dalam urusan kesihatan kita memilih doktor pakar dan dalam pembinaan rumah kita melantik arkitek yang berpengalaman, maka dalam urusan yang menyentuh masa depan keluarga serta pertanggungjawaban di akhirat, lebih wajar kita memilih pendekatan yang teliti dan bersifat khusus seperti yang ditawarkan Wasiyyah.
Perancangan harta secara butik bukan bermaksud eksklusif untuk golongan tertentu, tetapi bermaksud disesuaikan dengan realiti individu dan keluarganya.
Ini kerana yang kita cari bukan sekadar penyelesaian segera, tetapi ketenangan, keadilan dan keberkatan yang berpanjangan.
Wasiyyah sediakan perkhidmatan butik
Wasiyyah berhempas pulas sekian lama untuk menyediakan perkhidmatan perancangan harta secara syariah yang bersifat butik.
Sejak 2004, kami memahami bahawa membuat wasiat ringkas secara pukal bukanlah penyelesaian, malah mungkin mencetuskan masalah yang lebih kronik selepas kematian pemilik harta.
Dengan lebih daripada 45 rumusan perancangan harta, Wasiyyah dapat memastikan semua hasrat anda dalam pewarisan semua kelas aset tercapai dan yang paling penting memudahkan waris selepas ketiadaan anda. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









