Kisah seorang tokoh kewangan Islam yang ditahan reman SPRM baru-baru ini amat menggemparkan negara. Gambaran tokoh ini memakai baju oren dan bergari amat mengguris perasaan. Maka ramailah yang memberikan pandangan, sama ada positif mahupun negatif.
Saya tidak berhasrat untuk mengulas kes itu secara spesifik kerana siasatan pihak berkuasa masih berjalan. Biarlah proses undang-undang menentukan kedudukan kes itu.
Daripada setakat pembacaan saya, kes ini terkait dengan kedudukan tokoh tersebut sebagai pengarah kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan skim pelaburan IRPS (Islamic Redeemable Preference Shares).
Para pelabur melabur sejumlah wang di dalam syarikat dan dijanjikan pulangan sekitar 12–16% setahun dengan jaminan bahawa selepas tamat tempoh perjanjian pelaburan, keseluruhan modal pelaburan akan dipulangkan semula.
Ramai pakar telah mengulas mengenai skim pelaburan ini, jadi saya rasa tiada keperluan untuk saya mengulas panjang lebar mengenainya.
Namun, saya lebih merasa sedih dan terkesan dengan insiden ini kerana yang turut terpalit sama ialah reputasi industri kewangan Islam secara keseluruhan. Walaupun Wasiyyah hanya mengoperasikan satu segmen sahaja daripada keseluruhan ekosistem kewangan Islam, iaitu perancangan harta dan agihan pusaka, secara tidak langsung kami juga terkesan.
Pelbagai tawaran diberikan kepada saya
Sepanjang 21 tahun Wasiyyah beroperasi, saya dihidangkan dengan pelbagai tawaran untuk menjadi ahli lembaga pengarah pelbagai syarikat. Kebanyakannya ialah daripada orang-orang yang saya kenali. Tawaran ini datang dengan imbuhan yang menarik dan potensi perkembangan yang memberangsangkan.
Namun begitu, saya menolak tawaran itu dengan baik kerana saya faham tanggungjawab sebagai pengarah amat berat, terutama selepas pengenalan Akta Syarikat 2016. Apabila kita menjadi pengarah syarikat, ia bukan sekadar meletakkan nama kita di situ. Apa sahaja yang berlaku di dalam syarikat merupakan tanggungjawab pengarah sepenuhnya.
Pengarah tidak boleh mengelak daripada mengambil tanggungjawab. Akta Syarikat 2016 dengan jelas meletakkan prinsip fiduciary duty yang tinggi ke atas bahu pengarah.
Pengarah wajib bertindak dengan penuh amanah, berintegriti, berpengetahuan dan pada setiap masa meletakkan kepentingan syarikat serta pemegang taruh melebihi kepentingan peribadi. Kegagalan memahami operasi, produk, risiko dan tadbir urus syarikat bukanlah alasan yang boleh diterima di sisi undang-undang.
Inilah hakikat yang sering dipandang ringan oleh sebahagian pihak. Ada yang menerima jawatan pengarah sekadar untuk “meminjamkan nama”, reputasi atau gelaran akademik.
Ada yang merasakan mereka hanya berperanan sebagai rubber stamp, hadir mesyuarat sekali-sekala, menandatangani dokumen tanpa menyelami kandungannya. Malangnya, undang-undang tidak mengenal konsep pengarah separuh masa atau pengarah hiasan.
Dalam konteks kewangan Islam, beban ini menjadi lebih berat. Ia bukan sekadar isu pematuhan undang-undang sivil, tetapi juga soal amanah syariah.
Apabila sesuatu produk atau skim dilabelkan sebagai “Islamik”, keyakinan masyarakat Muslim akan meningkat dengan sendirinya. Mereka bukan sahaja meletakkan wang, tetapi meletakkan kepercayaan dan keyakinan agama. Apabila berlaku kegagalan, yang tercalar bukan sahaja modal, tetapi maruah dan kepercayaan terhadap keseluruhan industri kewangan Islam.
Sebab itu, saya sering menegaskan, jangan sesekali menceburi bidang yang kita tidak fahami dan tidak ada pengalaman. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan wang orang ramai. Ilmu tidak boleh diganti dengan niat baik semata-mata. Keikhlasan tanpa kefahaman boleh membawa mudarat yang besar.
Pengalaman Wasiyyah
Dalam perjalanan membangunkan Wasiyyah selama lebih dua dekad, kami memilih untuk kekal fokus dalam satu segmen sahaja iaitu perancangan harta pusaka patuh syariah dan pengurusan pusaka kerana ini ialah kepakaran yang telah kami bina berpuluh tahun.
Namun, kerana rekod pencapaian, acap kali kami diajak untuk melangkah lebih jauh ke bidang lain dalam kewangan Islam seperti pemfaktoran, pelaburan, pembiayaan, pengurusan dana dan sebagainya.
Namun, kami sedar keupayaan kami ada batasnya dan bidang-bidang ini kami tiada pengetahuan dan pengalaman. Oleh itu, kami memilih untuk fokus kepada kepakaran kami daripada ghairah mengejar peluang lain yang kelihatannya amat menarik.
Pesanan kepada rakan usahawan
Saya selalu berpesan kepada rakan-rakan usahawan dan profesional Muslim: tidak semua peluang yang melintas di depan mata perlu direbut.
Ada peluang yang kelihatan indah dari luar tetapi penuh ranjau dan muslihat di dalamnya. Ada jawatan yang nampak mulia dan berprestij, tetapi hakikatnya membawa risiko perundangan, kewangan dan reputasi yang amat besar.
Lebih malang lagi, ada juga yang terperangkap kerana rasa tidak seronok untuk menolak pelawaan menjadi pengarah. Faktor persahabatan, rasa terhutang budi atau segan silu sering mengaburi pertimbangan rasional. Sedangkan apabila berlaku masalah, persahabatan itu jarang sekali mampu menyelamatkan kita di mahkamah.
Iktibar kepada kita
Kes yang sedang hangat diperkatakan ini seharusnya menjadi cermin besar kepada semua pemain industri. Ia bukan masa untuk menuding jari atau menghukum lebih awal, tetapi masa untuk muhasabah.
Kita perlu bertanya dengan jujur kepada diri sendiri:
Adakah kita benar-benar memahami apa yang kita tandatangani?
Adakah kita cukup arif dengan risiko yang kita pikul?
Adakah kita sekadar bersandar kepada reputasi orang lain?
Industri kewangan Islam tidak boleh berkembang hanya dengan slogan, istilah Arab atau pensijilan semata-mata. Ia mesti dibina atas asas ilmu, tadbir urus yang kukuh, ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Jika tidak, kita sendiri yang akan meruntuhkan binaan yang telah lama diusahakan oleh para ilmuwan, penggubal dasar dan pengamal industri yang jujur.
Sebagai umat Islam, kita diajar bahawa setiap amanah akan dipersoalkan. Jawatan adalah amanah. Ilmu adalah amanah. Nama baik adalah amanah. Apabila amanah ini dikhianati sama ada secara sengaja atau kerana kejahilan, akibatnya bukan kecil.
Saya menulis bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi untuk mengingatkan.
Dunia korporat hari ini semakin kompleks. Undang-undang semakin ketat. Kesilapan kecil boleh membawa implikasi besar. Maka berhati-hatilah sebelum berkata “ya” kepada sesuatu yang kita sendiri belum benar-benar faham.
Akhirnya, saya berdoa agar kebenaran akan terserlah melalui proses yang adil dan telus. Saya juga berharap industri kewangan Islam di Malaysia akan terus belajar daripada episod-episod seperti ini, memperbaiki kelemahan dan kembali kepada prinsip asas: amanah, ilmu dan tanggungjawab.
Kerana dalam dunia ini, reputasi boleh dibina bertahun-tahun, tetapi boleh runtuh dalam sekelip mata. Dan apabila ia runtuh, bukan semua mampu bangkit semula. - DagangNews.com








