Jumlah dagangan Malaysia untuk Nov 2023 berjumlah RM231.8 bilion - DoSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah dagangan Malaysia untuk Nov 2023 berjumlah RM231.8 bilion - DoSM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Dis - Dagangan Malaysia bagi November 2023 adalah berjumlah RM231.8 bilion, dengan eksport dan import masing-masing mencatatkan RM122.1 bilion dan RM109.7 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

 

Berdasarkan laporan Perangkaan Eksport-Import mengikut Negeri November 2023, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata eksport susut sebanyak RM7.6 bilion (-5.9 peratus) berbanding bulan yang sama tahun lalu.

 

“Penurunan eksport itu disumbangkan oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM5.4 bilion), Selangor (-RM2.4 bilion), Sarawak (-RM1.6 bilion), Terengganu (-RM869.1 juta ), Melaka (-RM755.1 juta), Labuan (-RM704.8 juta), Pahang (-RM308.0 juta), Negeri Sembilan (-RM164.2 juta), Perlis (-RM29.9 juta) dan Kuala Lumpur (-RM9.9 juta).

 

“Bagaimanapun, eksport meningkat di Johor sebanyak RM3.0 bilion, Kedah (RM929.2 juta), Perak (RM540.8 juta), Sabah (RM472.3 juta) dan Kelantan (RM18.6 juta),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin
                             Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin

 

 

Beliau berkata Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan bahagian 29.0 peratus, diikuti Johor (22.6 peratus), Selangor (16.9 peratus), Sarawak (8.3 peratus) dan Kuala Lumpur (5.7 peratus).

 

Melihat kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata import meningkat RM1.8 bilion (+1.7 peratus) berbanding bulan yang sama pada 2022.

 

“Peningkatan import itu disumbangkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri seperti Kuala Lumpur (RM2.7 bilion), Negeri Sembilan (RM1.4 bilion), Pahang (RM1.1 bilion), Sabah (RM514.3 juta), Selangor (RM492.7 juta), Johor (RM197.1 juta), Melaka (RM114.4 juta) dan Terengganu (RM109.4 juta).

 

 

dosm

 

 

“Bagaimanapun, import berkurangan di Pulau Pinang sebanyak RM3.9 bilion, Labuan (-RM280.2 juta), Kedah (-RM78.8 juta), Sarawak (-RM60.9 juta), Kelantan (-RM43.0 juta), Perak (-RM15.9 juta) dan Perlis (-RM6.2 juta),” katanya.

 

Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan bahagian 26.5 peratus, diikuti Johor (20.6 peratus), Pulau Pinang (20.4 peratus), Kuala Lumpur (9.4 peratus) dan Kedah (5.6 peratus), katanya. - DagangNews.com