KUALA LUMPUR 27 Ogos - Inti pati yang diketengahkan adalah sama namun pendekatannya sedikit berbeza apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini memilih untuk berpuisi bagi menyampaikan mesej kecintaannya pada negara.
Sebelum mendeklamasikan puisi berjudul 'Keluarga Malaysia' hasil nukilannya sendiri, Ismail Sabri memohon maaf jika terdapat masalah dalam penyampaian beliau pada Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
"Saya minta maaf kalau ada masalah, saya baru belajar dari cikgu," katanya sebelum melontarkan bait-bait puisi yang menjentik kepentingan mempertahan sifat toleransi, hormat-menghormati serta cintakan negara dalam diri rakyat walaupun berbeza kepercayaan agama dan kaum, Bernama melaporkan.
Berikut adalah puisi Keluarga Malaysia yang dibawa Ismail Sabri:
Keluarga Malaysia
kupetik tempa falsafah ini
dari bumi bertuah
harmoninya terbina
kejayaannya sempurna
dari bangsa
yang mengenal jalur budinya.
Keluarga Malaysia
dengan dada terbuka fikiran menerima
kita mencungkil kesamaan
tidak menggali perbezaan.
Persis selembar benang
kita kait tenun
meniadi sehelai kain
but hamparan sempurna
sebuah keluarga Malaysia
terjalin utuh
terangkum kebersamaan
penuh syukur.
Keluarga Malaysia
sekian lama terbina
atas kepercayaan keyakinan
semua bangsa semua etnik
semua agama semua kepercayaan
tidak menjadi tembok dan dinding
yang menghalang
lahirnya keluarga Malaysia sejati.
Keluarga Malaysia
dengan penuh kasih sayang
menganyam kesejahteraan kebahagiaan
kerna kita sebuah keluarga besar.
Keluarga Malaysia
Mari kita pertahankan
payung toleransi
hormat menghormati
dengan jati diri
cintakan negara
cintakan pertiwi.
- Karya Ismail Sabri Yaakob

Majlis kira-kira dua jam itu turut diserikan dengan pelancaran koleksi Lagu Puisi Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri serta persembahan pembukaan oleh Razali Mohd Yusof, Dr Jessica Ong Hai Liaw dan Dr Raja Rajeswari Seetha Raman disusuli deklamasi puisi bertajuk 'Kita Jagai Merdeka' oleh Presiden Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) Datuk Rahman Shaari yang diumumkan sebagai Sasterawan Negara Ke-15 pada 22 Jun lalu.
Program jelajah puisi itu anjuran bersama Penyair, Institut Kepimpinan Kamarzaman, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Hotel Royale Chulan.
Siri pertama jelajah itu bermula di Universiti Putra Malaysia pada 8 Ogos lepas diikuti Universiti Malaysia Perlis (13 Ogos) dan Universiti Malaysia Sarawak (20 Ogos) manakala penutupnya akan berlangsung di Universiti Malaysia Sabah pada 14 Sept depan iaitu dua hari menjelang tarikh sambutan Hari Malaysia 2022. - DagangNews.com








