Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat marginal 0.6% pada November 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat marginal 0.6% pada November 2023 - DOSM

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat marginal 0.6 peratus tahun ke tahun pada November 2023 meski pun sektor pembuatan turun kepada negatif 0.1 peratus.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Jan – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat marginal 0.6 peratus tahun ke tahun pada November 2023 dipengaruhi oleh pertumbuhan sederhana dalam sektor perlombongan dan elektrik, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, sektor perlombongan mencatatkan pengembangan sederhana sebanyak 1.9 peratus berbanding 7.4 peratus pada Oktober dan sektor elektrik sebanyak 4.2 peratus (Oktober 2023: 5.6%). 

 

Sektor pembuatan bagaimanapun katanya, turun kepada negatif 0.1 peratus pada November 2023 selepas tumbuh positif bagi dua bulan berturut-turut dengan 0.9 peratus pada bulan sebelumnya. 

 

"Perbandingan bulan ke bulan menunjukkan IPP kembali kepada jajaran negatif (-0.9%) berbanding positif 1.9 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Jelas Dr Mohd Uzir, penurunan pengeluaran pembuatan adalah disebabkan oleh pengeluaran output yang lebih rendah dalam industri berorientasikan eksport yang merosot 2.7 peratus berbanding -1.6 pada Oktober. 

 

Kata beliau, penyusutan ini dipengaruhi terutamanya oleh kejatuhan dalam pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (-8.6%); pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-1.8%); dan pembuatan kayu & produk kayu & gabus (-1.9%). 

 

"Trend ini selari dengan eksport negara yang mengalami kemerosotan sejak Mac 2023 dan merekodkan negatif 5.9 peratus pada November. 

 

"Perbandingan dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan eksport menyusut 2.2 peratus," ujar beliau.

 

dosm1
Infografik DOSM berkenaan Indeks Pengeluaran Perindustrian November 2023.

 

Sebaliknya kata Ketua Perangkawan itu, industri berorientasikan domestik kekal kukuh dengan mencatatkan peningkatan 5.8 peratus pada November 2023. 

 

Kenaikan ini, menurut Dr Mohd Uzir, didorong oleh pertumbuhan dua digit 10.9 peratus dalam pembuatan produk prosesan makanan; pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan sebanyak 8.9 peratus; dan pembuatan produk galian bukan logam lain sebanyak 6.9 peratus.

 

"Perbandingan dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik pulih kepada 3.7 peratus berbanding negatif 1.4 peratus yang direkodkan pada Oktober 2023," jelasnya.

 

Dr. Mohd Uzir menambah, pertumbuhan pengeluaran sektor perlombongan menyederhana kepada 1.9 peratus pada November 2023 (Oktober 2023: 7.4%) kesan daripada peningkatan sederhana dalam gas asli dan minyak mentah & kondensat masing-masing sebanyak 1.7 peratus (Oktober 2023: 7.6%) dan 2.1 peratus (Oktober 2023: 7.2%). 

 

uzir
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

 

"Berbanding Oktober 2023, indeks perlombongan merosot 1.8 peratus berbanding pertumbuhan dua digit 15.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya," katanya. 

 

Pertumbuhan pengeluaran elektrik menyederhana kepada 4.2 peratus pada November 2023 selepas mencatatkan peningkatan 5.6 peratus pada bulan lalu.

 

Berbanding bulan sebelumnya, indeks elektrik menurun 4.6 peratus berbanding positif 5.3 peratus yang direkodkan pada Oktober 2023.

 

Merumuskan kenyataannya mengenai prestasi IPP bagi 11 bulan pertama tahun 2023, Dr Mohd Uzir berkata, IPP meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (Januari – November 2022: 7.1%).

"Peningkatan ini disokong oleh indeks elektrik (2.3%); indeks pembuatan (0.9%) dan indeks perlombongan (0.6%)," kata Ketua Perangkawan itu. - DagangNews.com