BNM dijangka kekal OPR pada paras 3% kerana KDNK lebih rendah berbanding jangkaan - Standard Chartered | DagangNews Skip to main content

BNM dijangka kekal OPR pada paras 3% kerana KDNK lebih rendah berbanding jangkaan - Standard Chartered

Bank Negara Malaysia - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mei - Standard Chartered Research menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah sebanyak 3% semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 9 Mei 2024.

 

Katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama kekal berdaya tahan pada paras 3.9% dari tahun ke tahun tetapi lebih rendah berbanding jangkaan mereka pada akhir 2023.

 

"Inflasi kekal tidak sihat pada Mac 2024 walaupun terdapat peningkatan sebanyak 2ppt dalam cukai perkhidmatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan terkini termasuk penstrukturan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kenaikan gaji penjawat awam dilihat meningkatkan risiko kenaikan OPR pada akhir 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KWSP tetapkan 10% caruman masuk ke Akaun 3, ahli boleh keluarkan pada bila-bila masa

 

Katanya, penstrukturan semula akaun KWSP yang boleh membawa kepada anggaran pengeluaran sebanyak RM25 bilion (1.3% daripada KDNK) dan ia berkemungkinan meningkatkan inflasi didorong oleh permintaan.

 

Selain itu, gaji penjawat awam mungkin dinaikkan lebih daripada 13% mulai Disember 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi dijangka antara 2%-3.5% tahun ini ekoran pelaksanaan rasionalisasi subsidi kerajaan, kata BNM

 

"Rasionalisasi subsidi bahan api (faktor yang jelas) mungkin dilaksanakan pada 2025 atau lebih awal, menambahkan lagi risiko peningkatan inflasi.

 

"Kami akan memerhatikan sebarang perubahan pada prospek inflasi BNM untuk menilai risiko kenaikan OPR pada akhir 2024, namun keadaan ini bukan kes asas pada masa ini," katanya. - DagangNews.com