KWSP tetapkan 10% caruman masuk ke Akaun 3, ahli boleh keluarkan pada bila-bila masa | DagangNews Skip to main content

KWSP tetapkan 10% caruman masuk ke Akaun 3, ahli boleh keluarkan pada bila-bila masa

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 April - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Akaun 3 atau Akaun Fleksibel dengan simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

 

Sebanyak 10% daripada caruman ahli selepas 11 Mei 2024 akan dimasukkan ke Akaun Fleksibel dengan ahli boleh membuat pengeluaran melalui mana-mana cawangan KWSP atau secara online, KWSP i-Akaun, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.
 

Jelas KWSP, Akaun 3 bertujuan menyediakan fleksibiliti bagi keperluan kewangan jangka pendek yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar. 

 

kwsp1

 

Katanya, semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut iaitu 75% ke dalam Akaun Persaraan, 15% ke dalam Akaun Sejahtera dan 10% ke dalam Akaun Fleksibel.

 

"Ahli yang masih belum mendaftar KWSP i-Akaun adalah digalakkan untuk melakukannya bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel dapat dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kata Ahmad Zulqarnain, penstrukturan semula akaun bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli KWSP dengan Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa bersara.

 

Jelasnya, Akaun Sejahtera pula untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan dan Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti kewangan jangka pendek. 

 

Ujar beliau, fokus utama Penstrukturan Semula Akaun KWSP adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang. 

 

kwsp

 

Kata Ahmad Zulqarnain, antara 11 Mei 2024 dan 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera (Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel. 

 

Ujar beliau, sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera. 

 

"Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan. 

 

"Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli," katanya. 

 

kwsp3

 

Kaedah pindahan adalah mengikut pecahan seperti di bawah:

 

Baki dalam Akaun Sejahtera adalah RM3,000 dan ke atas

 

Pindahan akan dibuat seperti berikut:

•  Sepuluh per tiga puluh (10/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel;

•  Lima per tiga puluh (5/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan; dan

•  Lima belas per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

 

kws

 

Baki dalam Akaun Sejahtera adalah kurang dari RM3,000

 

Pindahan akan dibuat seperti berikut:

•  Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel. 

•  Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.   

 

Perbezaan dalam kaedah pengagihan ini adalah untuk membolehkan ahli yang mempunyai baki simpanan yang rendah untuk turut mempunyai jumlah permulaan yang bermakna dalam Akaun Fleksibel mereka. 

 

Ringkasan pindahan amaun permulaan adalah seperti berikut:

 

Ahli boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel sebanyak satu (1) kali sahaja bermula daripada tarikh kuat kuasa sehingga 31 Ogos 2024, di mana selepas ini pilihan ini tidak boleh dibatalkan. 

 

Ahli yang ingin memanfaatkan pilihan ini boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau Self-Service Terminal yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

 

Ahmad Zulqarnain menambah bahawa inisiatif ini bukan sekadar tindak balas KWSP terhadap keperluan semasa, tetapi merupakan langkah proaktif untuk membantu ahli menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP. 

 

"Dengan penambahbaikan ini, KWSP berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar ini,” jelasnya.

 

Bagai Akaun 55 dan Akaun Emas pula, seperti amalan sedia kala, kesemua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel ahli yang telah mencapai umur 55 tahun akan disatukan ke dalam Akaun 55. 

 

"Caruman baharu yang diterima oleh ahli mulai umur 55 tahun akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas. 

 

"Ahli boleh mengakses sistem sepenuhnya pada 12 Mei 2024. Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, ahli boleh mengunjungi mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara atau merujuk kepada laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau melalui KWSP i-Akaun," katanya.- DagangNews.com