UniMAP, UPM meterai MoU dengan University of Surrey perkukuh pengantarabangsaan pendidikan tinggi | DagangNews Skip to main content

UniMAP, UPM meterai MoU dengan University of Surrey perkukuh pengantarabangsaan pendidikan tinggi

Gambar FB Universiti Putra Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Mei - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan University of Surrey (UoS), United Kingdom (UK), dalam usaha memperkukuh pengantarabangsaan pendidikan tinggi di kedua-dua negara.

 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang menyaksikan pemeteraian itu berkata, kerjasama tersebut melibatkan perkongsian kepakaran, pengetahuan dan teknologi, pembangunan kakitangan secara profesional dan akademik, serta program promosi dan latihan untuk pelajar dan kakitangan.

 

“Saya harap persefahaman yang terjalin antara universiti-universiti Malaysia dan UoS ini dapat memperkukuh pengantarabangsaan pendidikan tinggi di kedua-dua negara,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU tersebut di Surrey, UK, semalam.

 

Perkara itu dikongsi Noraini menerusi satu kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Presiden dan Naib Canselor UoS, Prof Max Lu berkata, pencapaian UoS dalam penyelidikan dan pendidikan global telah membawa banyak perubahan kepada masyarakat sejagat dan usaha ini dimantapkan lagi dengan perkongsian antarabangsa.

 

“Kerjasama sebegini akan membantu kami meningkatkan capaian antarabangsa dan penyelidikan bertaraf dunia dalam menyokong objektif pendidikan tinggi kerajaan Malaysia.

 

 

upm

 

 

“Kolaborasi dalam Animal Neighbours’ Project merupakan salah satu contoh bagaimana penyelidikan UoS telah memberi kesan positif kepada dunia terhadap cabaran besar seperti kemampanan dan biodiversiti,” katanya pada majlis tersebut. - DagangNews.com