KUALA LUMPUR 15 Jun — Lonjakan mendadak harga bahan mentah utama termasuk resin, minyak sawit mentah (MSM), gandum dan dedak mula memberi tekanan kepada keuntungan syarikat pengguna.
Menurut MBSB Research, perkembangan negatif tersebut dipengaruhi rapat oleh faktor risiko inflasi global yang terus meningkat susulan kesan rantaian akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Bagaimanapun, ia mengekalkan pandangan ‘positif’ terhadap sektor pengguna berikutan permintaan domestik yang masih kukuh, disokong kestabilan pasaran buruh sendiri dan bantuan fiskal kerajaan.
"Corak perbelanjaan pengguna lebih menjurus kepada produk keperluan harian," kata firma tersebut merujuk jualan runcit meningkat 6.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM70.95 bilion pada April 2026.
Jelas MBSB Research, situasi pada tempoh berkenaan namun mencatatkan penyusutan 1.5% berbanding bulan sebelumnya susulan normalisasi perbelanjaan selepas musim Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Pertumbuhan kekal meliputi kedai khusus, pasar raya, makanan dan minuman (F&B) serta kelengkapan rumah, menunjukkan permintaan pengguna masih stabil walaupun berdepan tekanan kos sara hidup.
Tambah firma tersebut, tekanan kos semakin ketara dalam kalangan pengeluar F&B apabila harga resin PET untuk pembuatan botol plastik melonjak 59.8% YoY, diikuti MSM sebanyak 26.6% dan gandum 18.9%.

"Kenaikan kos pembungkusan itu memberi cabaran kepada syarikat air minuman seperti Spritzer, dan harga MSM yang tinggi menjejaskan pengeluar makanan berasaskan minyak sawit," kata MBSB Research.
Dalam segmen haiwan ternakan pula ujarnya, harga telur ayam menunjukkan trend penurunan bagi semua gred pada April 2026, manakala harga daging ayam adalah kekal stabil sekitar RM10.39 sekilogram.
Namun begitu jelas firma penyelidikan berkenaan, kos makanan ternakan terus meningkat apabila harga kacang soya dan jagung masing-masing didapati naik 6.8% dan 10.2% berbanding data tahun lalu.
MBSB Research berkata, konflik berterusan di Timur Tengah berpotensi meningkatkan lagi kos bahan api, logistik, baja dan produk petrokimia yang akhirnya boleh memberi kesan kepada harga pengguna.
"Pada masa sama, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memberikan sedikit kelegaan kepada banyak syarikat pengguna yang bergantung kepada bahan mentah import," tambahnya.
Justeru, ia mengesyorkan pelabur memberi tumpuan lebih kepada syarikat berteraskan produk keperluan asas dan peruncitan nilai yang lebih defensif dalam menghadapi ketidaktentuan kos pada ketika ini.
Antara saham pilihan utama MBSB Research ialah 99 Speed Mart, MR DIY, Leong Hup dan Life Water yang dalam kedudukan terbaik memanfaatkan permintaan berterusan terhadap produk keperluan harian asas.
Walaupun tekanan kos semakin meningkat, sektor pengguna dijangka terus disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang stabil, ia cenderung kepada syarikat yang menawarkan nilai sentimen pengguna. - DagangNews.com








