KUALA LUMPUR 15 Jun - SumiSaujana Group Bhd dijangka terus mengekalkan momentum pertumbuhan dalam tempoh sederhana dan panjang meskipun berdepan cabaran makroekonomi termasuk kelemahan pasaran Timur Tengah serta tekanan harga yang melanda industri, menurut Mercury Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, kepelbagaian pendedahan pasaran dan permintaan asas yang kekal berdaya tahan terus menjadi pemacu utama prestasi syarikat, seperti dibuktikan menerusi pertumbuhan hasil sebanyak 11.6% tahun ke tahun (YoY) pada suku pertama tahun kewangan semasa yang lazimnya merupakan tempoh operasi lebih perlahan.
Menurutnya, langkah SumiSaujana beralih kepada model operasi milik sendiri melalui pengambilalihan aset kilang dan gudang dijangka memberi manfaat jangka panjang menerusi penjimatan kos berulang, peningkatan kecekapan operasi serta kawalan yang lebih baik terhadap logistik dan inventori.
Pihak pengurusan memaklumkan kilang di Puncak Alam sahaja dijangka menjana penjimatan sewa langsung sekitar RM720,000 setahun, selain manfaat tambahan daripada penyatuan operasi dan penamatan beberapa gudang yang disewa sebelum ini.
"Dalam tempoh akan datang, antara pemangkin utama yang perlu diberi perhatian termasuk permulaan kontrak Pengerang, pemuktamadan rangka kerja WSA, pengesahan komersial inisiatif CoolisT serta kejelasan mengenai strategi pembuatan di Amerika Syarikat yang berpotensi menyokong pertumbuhan pendapatan jangka sederhana dan panjang," katanya firma itu dalam nota kajian hari ini.
Susulan taklimat terkini syarikat, Mercury Securities mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY26E dan FY27E, namun menyemak semula beberapa andaian operasi termasuk peningkatan output pengeluaran kepada kira-kira 15,200 tan berbanding 14,400 tan sebelum ini.
Bagaimanapun, anggaran harga jualan purata (ASP) disemak lebih rendah kepada sekitar RM9,200 setiap tan berbanding RM9,700 setiap tan sebelum ini.
Menurut firma itu, semakan tersebut mengambil kira permintaan yang lebih kukuh daripada rantau Asia Pasifik dan Amerika Syarikat yang berjaya mengimbangi kelemahan permintaan di Timur Tengah.
Penilaian Saham
Dari sudut penilaian, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham SumiSaujana dengan harga sasaran RM0.138 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY27E sebanyak 17.5 kali.
Katanya, walaupun sentimen pasaran masih dipengaruhi oleh kelemahan pasaran Timur Tengah dan tekanan harga industri, risiko tersebut dilihat telah pun diambil kira dalam penilaian semasa saham syarikat.
"Pertumbuhan hasil sebanyak 11.6% dalam suku pertama yang secara tradisinya lebih perlahan menunjukkan daya tahan model perniagaan syarikat serta kekuatan asas pendapatannya yang pelbagai," katanya.
Firma itu turut berpandangan saham SumiSaujana masih belum dinilai sepenuhnya oleh pasaran memandangkan syarikat mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, operasi yang semakin berkembang di peringkat antarabangsa serta saluran pelaksanaan projek yang jelas.
Dalam jangka panjang, prospek syarikat disokong oleh hubungan kukuh dengan pelanggan institusi utama sektor minyak dan gas, dengan empat pelanggan global terbesarnya yang diterajui Petronas menyumbang kira-kira 78% daripada hasil kumpulan.
Pada masa sama, SumiSaujana sedang memperluaskan fokus kepada segmen industri berpertumbuhan tinggi seperti pelincir berasaskan bio dan minyak transformer menerusi strategi pengembangan geografi dan inovasi produk.
Strategi tersebut termasuk pembinaan kemudahan pengeluaran baharu di Amerika Utara dan Timur Tengah yang dijangka dilaksanakan menjelang separuh pertama FY26, selain kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk membangunkan poliol berasaskan sawit bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap bahan biokimia mampan.
Antara risiko utama yang boleh menjejaskan prospek syarikat termasuk kebergantungan kepada pelanggan utama, pendedahan kepada turun naik mata wang asing serta perubahan kos bahan mentah. - DagangNews.com








