KUALA LUMPUR 15 Jun – TMK Chemical Bhd merancang untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM), anak syarikat milik penuh Batu Kawan Bhd menerusi satu urus niaga strategik yang dianggarkan bernilai kira-kira RM920 juta.
Cadangan pengambilalihan itu dilihat sebagai langkah penting TMK Chemical untuk memperkukuh kedudukan dalam rantaian nilai industri kimia tempatan serta memperluas kapasiti perniagaan kumpulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata transaksi tersebut dimulakan melalui surat hasrat tidak mengikat yang dikemukakan kepada Batu Kawan bagi memperoleh CCM secara keseluruhan.
Bagaimanapun, beberapa aset tertentu tidak termasuk dalam urus niaga ini, antaranya syarikat bersekutu CCM iaitu Orica-CCM Energy Systems Sdn Bhd serta dua lot tanah berkaitan yang akan dipindahkan secara berasingan pada nilai kos, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.
TMK Chemical berkata struktur pembayaran cadangan pengambilalihan itu akan dilaksanakan melalui gabungan tunai dan terbitan saham baharu syarikat kepada Batu Kawan.
“Bahagian tunai bagi transaksi berkenaan akan dibiayai melalui gabungan dana hasil penyenaraian terdahulu, pinjaman bank serta dana dalaman syarikat,” katanya.
Untuk rekod, TMK Chemical sebelum ini berjaya mengumpul RM385 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) ketika disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Disember 2024.
Sementara itu, komponen pertimbangan saham akan melibatkan terbitan saham baharu TMK Chemical pada harga RM1.9098 sesaham, berdasarkan purata harga wajaran volum lima hari dagangan (VWAP) sehingga akhir Mei.
Diklasifikasikan Transaksi Pihak Berkaitan
Sementara itu, dalam makluman berasingan, Batu Kawan berkata lembaga pengarahnya yang tidak berkepentingan telah menerima cadangan tersebut secara prinsip, namun ia masih tertakluk kepada proses penelitian wajar, pelantikan penasihat bebas serta pemeteraian perjanjian jual beli muktamad.
Urus niaga ini turut diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan (RPT) memandangkan pemegang saham utama TMK Chemical, Datuk Lee Soon Hian, merupakan adik kepada Pengerusi Batu Kawan, Tan Sri Lee Oi Hian.
Batu Kawan sebelum ini memperoleh 56.32 peratus kepentingan dalam CCM daripada Permodalan Nasional Bhd pada harga RM292.8 juta sebelum menswastakan syarikat tersebut pada tahun 2021, menjadikan peningkatan nilai semasa urus niaga ini lebih ketara.
CCM terlibat dalam pengeluaran pelbagai produk kimia termasuk bahan klor-alkali, derivatif sulfur, bahan kimia khusus serta salutan polimer, yang digunakan dalam sektor getah, rawatan air, pembuatan, infrastruktur, pertanian dan penjagaan kesihatan.
Cadangan ini berlaku ketika Batu Kawan sedang merancang pelaksanaan tawaran am mandatori (MGO) bagi MKH Bhd selepas meningkatkan pegangan kepada 47.7 peratus dalam syarikat berkenaan melalui pembelian daripada keluarga pengasas.
Selain itu, Batu Kawan dijangka menjadi pemegang saham utama kedua terbesar TMK Chemical dengan pegangan sekurang-kurangnya 20 peratus selepas transaksi ini dimuktamadkan, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua kumpulan. - DagangNews.com








