Perjanjian damai AS–Iran cetus lonjakan pasaran saham di Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjanjian damai AS–Iran cetus lonjakan pasaran saham di Bursa Malaysia

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 15 Jun - Perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran yang dilaporkan berjaya meredakan ketegangan geopolitik global telah mencetuskan lonjakan dalam pasaran saham serantau, termasuk Bursa Malaysia, pada pembukaan dagangan pagi ini.

 

Indeks penanda aras Malaysia meningkat lebih lapan mata atau 0.5% kepada 1,691.82, dengan saham-saham berwajaran tinggi utama melonjak selepas beberapa minggu mengalami tekanan penurunan.

 

Sentimen pasaran yang lebih positif itu dipacu oleh jangkaan pemulihan aliran perdagangan tenaga serta penurunan risiko gangguan bekalan minyak dari Timur Tengah, sekali gus memberi kelegaan kepada pelabur global.

 

ARTIKEL BERKAITAN: US-Iran peace deal announced with 'permanent' end to military action 

 

Pelabur turut kembali mengambil kedudukan dalam aset berisiko selepas beberapa sesi sebelum ini menyaksikan dagangan lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan geopolitik.

 

Apex Securities berkata walaupun beberapa butiran perjanjian masih belum dimuktamadkan secara rasmi oleh Tehran, pengumuman awal oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah memberi impak besar terhadap keyakinan pasaran.

 

“Ketidaktentuan mengenai terma akhir perjanjian AS–Iran, selain ketegangan di Lebanon dan hasil Perbendaharaan AS 10 tahun pada 4.49% masih boleh mencetuskan turun naik, namun sentimen awal pasaran kekal positif,” katanya dalam tinjauan pasaran.

 

Harga minyak turut susut kira-kira 4% kepada AS$84 setong, paras terendah dalam hampir tiga bulan, susulan jangkaan peningkatan kestabilan bekalan melalui Selat Hormuz.

 

Dalam masa sama, sentimen pasaran turut disokong oleh minat berterusan terhadap tema teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang terus menjadi pemacu utama pelaburan global.

 

Secara keseluruhan, penganalisis menjangkakan momentum positif ini akan terus menyokong dagangan awal di rantau Asia.

 

Sektor Kewangan Catat Kenaikan

Di Bursa Malaysia Bursa Malaysia, indeks utama dibuka lebih tinggi, mencerminkan penyertaan semula pelabur institusi dan runcit dalam saham-saham berwajaran tinggi.

 

Sektor kewangan antara yang paling menyerlah apabila Malayan Banking Berhad meningkat 14 sen kepada RM10.85, CIMB Group Holdings Berhad naik 16 sen kepada RM7.55, Public Bank Berhad menambah empat sen kepada RM4.87, Hong Leong Bank Berhad meningkat 12 sen kepada RM21.46, dan RHB Bank Berhad naik enam sen kepada RM8.43.

 

Saham defensif turut mencatatkan kenaikan apabila Nestlé Malaysia Berhad meningkat RM1.20 kepada RM96.80, SD Guthrie Berhad menambah enam sen kepada RM6.06, dan Tenaga Nasional Berhad naik 10 sen kepada RM14.52.

 

Di pasaran serantau, sentimen positif turut jelas kelihatan apabila Kospi Korea Selatan melonjak 5.69% kepada 8,586, manakala Nikkei Jepun meningkat 5.11% kepada 69,388. Straits Times Singapura turut dibuka lebih tinggi sebanyak 0.95% kepada 5,071. - DagangNews.com