KUALA LUMPUR 15 Jun — Prestasi hasil Uzma Berhad mampu mencatat pertumbuhan kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26), didorong sumbangan berterusan kontrak kapal seismik.
Menurut Phillip Capital, kadar penggunaan tinggi kapal khas bagi misi penerokaan rizab minyak dan gas (O&G) bawah laut itu akan meningkatan aktiviti telaga serta penggunaan penuh aset perkhidmatan pam.
Susulan prospek pendapatan yang semakin positif itu, firma penyelidikan tersebut terus mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan berkenaan dengan harga sasaran (TP) iaitu RM1.03 sesaham.
"Kami masih lagi melihat potensi besar Uzma yang berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peningkatan banyak aktiviti sektor O&G dalam tempoh jangka sederhana," jelasnya dalam nota.
Phillip Capital berkata, margin keuntungan juga dijangka bertambah baik berikutan hasil yang lebih menguntungkan, selain pertumbuhan aktiviti rumusan telaga dengan menawarkan margin semakin tinggi.
Ia menjangkakan pendapatan 4QFY26 lebih kukuh secara suku tahunan (QoQ) dan tahunan (YoY) disokong kadar penggunaan tinggi kapal seismik, serta kontrak baharu yang bernilai kira-kira RM700 juta.
Jelas firma penyelidikan berkenaan, tender tersebut diperoleh Uzma daripada PETRONAS Carigali dan EnQuest, manakala penggunaan penuh aset perkhidmatan pam dijangka menyokong pertumbuhan.

"Walaupun ada kapal sesimik menjalani penyelenggaraan yang mungkin menjejaskan penggunaan pada awal FY27, pihak pengurusan masih mengekalkan sasaran kadar operasi lebih 90%," kata Phillip Capital.
Dalam perkembangan lain, nilai buku tender naik 22% QoQ kepada RM3.1 bilion berbanding RM2.6 bilion pada suku sebelumnya, mencerminkan momentum semakin kukuh dalam segmen rumusan pengeluaran.
Firma itu berkata, kebimbangan terhadap keselamatan bekalan tenaga global susulan ketegangan yang berterusan di Timur Tengah turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti tender O&G diraih Uzma.
Situasi ini jelas Phillip Capital, mewujudkan lebih banyak peluang kontrak baharu, dan ia turut melihat peningkatan pegangan EnQuest dalam aset luar pesisir yang berpotensi merancakkan aktiviti.
"Ini terutama kerja pembangunan telaga dalam tempoh sederhana, yang boleh memberi manfaat kepada kumpulan itu berdasarkan hubungan kerja yang telah lama terjalin antara kedua-dua pihak," katanya.
Uzma juga terus mengembangkan segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) menerusi program Solar ATAP, manakala keputusan projek solar berskala besar kelima (LSS5) dijangka diumumkan pada Ogos 2026.
Saham syarikat itu ujar Phillip Capital kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) tiga kali ganda unjuran FY27, dan masih menarik berbanding prospek pertumbuhan hasil sebelumnya.
Bagaimanapun, antara risiko perlu diberi perhatian termasuk kemungkinan tempahan kerja lebih rendah, kelewatan pelaksanaan projek serta peningkatan kos operasi yang menjejaskan margin. - DagangNews.com








