KUALA LUMPUR 15 Jun - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap prospek jangka pendek SDS Group Bhd susulan cabaran yang berpunca daripada harga minyak yang masih tinggi serta perbelanjaan pengguna yang lebih perlahan.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun SDS mempunyai potensi pertumbuhan baharu menerusi pengeluaran produk London Roll, sumbangan segmen tersebut kepada prestasi kumpulan dijangka mengambil masa sebelum dapat diterjemahkan kepada pendapatan yang lebih bermakna.
“Walaupun produk London Roll menawarkan sumber pendapatan baharu dalam jangka panjang, keterlihatan prestasi dalam tempoh terdekat masih terhad kerana pembangunan pangkalan pelanggan memerlukan masa,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut PublicInvest, inisiatif kepelbagaian produk itu dilihat mampu mengukuhkan kedudukan SDS dalam sektor pembuatan makanan dalam jangka panjang, namun tempoh peralihan dan usaha menembusi pasaran baharu akan menjadi faktor utama yang menentukan kejayaannya.
Pada masa sama, firma itu menjangkakan margin keuntungan syarikat terus berdepan tekanan berikutan risiko kenaikan kos bahan mentah, khususnya bahan pembungkusan yang bergantung kepada input berasaskan petroleum.
“Kos bahan pembungkusan kekal terdedah kepada kemungkinan kenaikan harga disebabkan penggunaan bahan berasaskan petroleum, sekali gus memberi tekanan kepada margin keuntungan,” katanya.
Sentimen Pengguna Lemah
Selain faktor kos, PublicInvest turut melihat sentimen pengguna yang lemah sebagai risiko kepada prestasi segmen runcit SDS yang lazimnya menyumbang margin keuntungan lebih tinggi berbanding segmen lain.
“Segmen borong pula menyediakan tahap kestabilan pendapatan tertentu, namun marginnya masih terdedah kepada rasionalisasi subsidi diesel, dengan bekalan nasional hanya dijamin sehingga Julai 2026,” katanya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan segmen borong masih mampu menjadi penyumbang stabil kepada pendapatan kumpulan, meskipun berdepan ketidaktentuan berkaitan kos logistik dan pengangkutan.
Sehubungan itu, PublicInvest mengekalkan saranan "Neutral" terhadap SDS Group sambil terus memantau perkembangan inisiatif pengembangan perniagaan serta keupayaan syarikat mengurus tekanan kos dalam persekitaran operasi yang mencabar.
Hasil Berperingkat Kilang Baharu
Sementara itu PublicInvest menjangkakan kilang-kilang yang diperoleh oleh SDS daripada Mamee Bakery Sdn Bhd akan mula menyumbang kepada pendapatan secara berperingkat dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY27).
Firma penyelidikan itu berkata Kilang 1 telah pun beroperasi selepas menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dan memperoleh kelulusan kawal selia yang diperlukan, manakala Kilang 2 kini sedang dinaik taraf dan Kilang 3 dijangka melalui proses penambahbaikan secara berperingkat seterusnya.
Kemudahan yang baru diperoleh itu dijangka memperkukuh keupayaan pengeluaran, khususnya bagi produk London Roll, yang dilihat sebagai sumber pendapatan baharu bagi syarikat ketika ia mempelbagaikan portfolio pembuatan makanannya. - DagangNews.com








