Nilai saham IJM kini lebih menarik selepas pembetulan harga - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai saham IJM kini lebih menarik selepas pembetulan harga - HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan "Beli" terhadap IJM Corporation Bhd selepas pembetulan harga saham baru-baru ini menjadikan penilaiannya lebih menarik, dengan saham syarikat itu kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) unjuran sebanyak 16.6 kali dan 16.8 kali bagi tahun kewangan 2027 dan 2028 (FY2027/FY2028).

 

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan harga sasaran RM3.02 sesaham, yang berdasarkan diskaun 20% kepada penilaian jumlah bahagian (sum-of-parts, SOP) sebanyak RM3.77 sesaham.

 

Menurut HLIB, harga saham IJM telah pulih sebanyak 13.7% kepada RM2.33 setakat 5 Jun 2026 selepas merosot 31% daripada paras tertinggi tahun ini sebanyak RM2.97 pada 13 Januari kepada RM2.05 pada 20 Mei lalu.

 

Katanya, penurunan tersebut dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik di Asia Barat serta kegagalan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bernilai RM11 bilion oleh Sunway Bhd pada harga RM3.15 sesaham.

 

"Pergerakan harga saham terkini menunjukkan fasa pembetulan mungkin semakin reda, dengan petunjuk teknikal mula mencadangkan trend pengumpulan saham.

 

"Profil risiko dan pulangan kini lebih menarik memandangkan tempoh operasi yang paling mencabar telah berlalu. Pelaksanaan inisiatif pembukaan nilai syarikat akan menjadi pemangkin utama kepada penarafan semula saham," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Momentum Operasi Mengukuh Merentasi Semua Segmen Kumpulan

HLIB menjangkakan momentum operasi IJM akan terus mengukuh merentasi segmen utama kumpulan, disokong oleh buku pesanan pembinaan yang kukuh serta peningkatan jualan hartanah.

 

Bahagian pembinaan IJM ketika ini disokong oleh pesanan belum dibilkan bernilai RM7.1 bilion dan saluran tender sebanyak RM18 bilion, dengan pihak pengurusan menyasarkan kontrak baharu bernilai RM9 bilion bagi FY2027.

 

Sebahagian besar pertumbuhan itu dijangka dipacu oleh peningkatan projek berkaitan pusat data yang semakin rancak di Malaysia.

 

Dalam segmen hartanah, HLIB berkata bil tertunggak dijangka telah mencapai paras terendah pada TK2026, manakala jualan yang lebih kukuh telah meningkatkan jualan belum diiktiraf kepada RM2 bilion.

 

Segmen industri pula terus menikmati permintaan yang stabil dengan buku pesanan cerucuk konkrit berputar (spun pile) sebanyak satu juta tan, manakala operasi pelabuhan dijangka kembali pulih selepas pelanggan utama menyelesaikan kerja-kerja penyelenggaraan utama mereka.

 

Pada masa sama, IJM mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 5 sen sesaham serta dividen khas sebanyak 1 sen sesaham.

 

Sasaran Pengagihan Modal

Lebih menarik, pihak pengurusan memperkenalkan sasaran pengagihan modal sebanyak RM3 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang, bersamaan dividen terkumpul sebanyak 83 sen sesaham atau kira-kira 28 sen setahun.

 

HLIB berkata, sasaran itu menawarkan purata hasil dividen sekitar 12% dan disokong oleh beberapa inisiatif pembukaan nilai termasuk cadangan penyenaraian unit pembinaan IJM, pengewangan aset lebuh raya bertol serta rancangan keluar daripada operasi di India dalam tempoh dua tahun.

 

Selain itu, kumpulan turut memformalkan dasar pembayaran dividen sebanyak 40% daripada keuntungan teras yang boleh diagihkan kepada pemegang saham.

 

Sehubungan itu, HLIB menasihatkan pelabur untuk terus mengumpul saham IJM, namun menetapkan paras henti rugi pada RM2.15 sekiranya saham itu kembali menunjukkan kelemahan. - DagangNews.com