KUALA LUMPUR 15 Jun – Penganjur RXZ Members 8.0 dijangka mengumumkan keputusan rasmi berhubung tarikh penganjuran acara permotoran itu pada 19 Jun (Jumaat) ini selepas mempertimbangkan pelbagai faktor susulan pertindihan tarikh program itu dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Tarikh penganjuran yang ditetapkan sebelum ini ialah pada 31 Julai-1 Ogos yang berlangsung di Litar Permotoran Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu.
Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Pilihan Raya baru-baru ini pula menetapkan tarikh mengundi untuk PRN Negeri Sembilan ialah pada 1 Ogos 2026.
Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, pertembungan tarikh itu hangat diperkatakan dalam media sosial sejak beberapa hari lalu dengan sebahagian besar peserta berharap pihak penganjur dapat mencari penyelesaian terbaik memandangkan ramai telah membuat persiapan lebih awal untuk menghadiri himpunan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya telah membuat undian dalam kalangan peserta untuk mendapatkan pelbagai pandangan memandangkan ia membabitkan banyak kos kewangan seperti tempahan kapal terbang, tempahan homestay selain permohonan cuti bekerja yang telah dibuat sebelum ini.
“Antara cadangan yang paling banyak dikemukakan ialah menambah satu hari lagi tempoh penganjuran bagi memberi ruang kepada peserta dari Negeri Sembilan menunaikan tanggungjawab mengundi tanpa menjejaskan penyertaan mereka dalam RXZ Members 8.0.
“Selain itu, saranan lain ialah supaya program dimulakan lebih awal daripada jadual asal bagi mengelakkan pertindihan dengan hari pengundian.
“Kami meraikan pelbagai pandangan dan akan membuat keputusan menang-menang untuk semua pihak yang bakal diumumkan pada Jumaat ini (19 Jun),” katanya ketika dihubungi DagangNews.
Menurut perkongsian dalam kalangan komuniti RXZ di laman Facebook rasmi RXZ Members-Official, isu berkenaan memberi kesan besar khususnya kepada peserta dari Sabah dan Sarawak yang telah mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk hadir ke program berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu bakal dibanjiri 200,000 peminat RXZ dengan hadiah RM500,000 jadi rebutan
Ramai peserta dari Sabah dilaporkan sudah membeli tiket penerbangan beberapa bulan lebih awal bagi mendapatkan tambang yang lebih murah selain memastikan tempat mereka terjamin di acara permotoran terkenal itu.
Malah, kumpulan peserta dari lokasi Sabah dan Sarawak serta beberapa negara luar juga sudah membuat tempahan menghantar motosikal masing-masing ke Semenanjung menggunakan perkhidmatan kontena sebagai persediaan menyertai himpunan tersebut.
Mohamad Faizal berkata keadaan itu menyebabkan sebarang perubahan besar terhadap jadual program boleh memberi implikasi kos tambahan kepada peserta yang telah membuat tempahan tiket penerbangan, penginapan dan urusan logistik.
“Dalam ruangan komen media sosial, ramai peserta meminta penganjur mempertimbangkan faktor tersebut sebelum membuat keputusan muktamad.
“Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat penambahan satu hari penganjuran merupakan jalan terbaik bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat tanpa perlu mengorbankan hak untuk mengundi.
“Sebahagian peserta pula berpandangan tarikh asal wajar dikekalkan kerana ramai yang telah menyusun jadual perjalanan serta membuat pelbagai tempahan lebih awal.
“Apa pun, tunggu sahaja pengumumannya nanti kerana hari mengundi adalah hari istimewa untuk rakyat Negeri Sembilan yang bakal menentukan tampuk pemerintahan di negeri mereka untuk penggal akan datang,” katanya.
RXZ Members adalah antara himpunan motosikal terbesar di negara ini yang saban tahun berjaya menarik ratusan ribu peserta dan pengunjung dari seluruh negara termasuk Brunei, Singapura serta komuniti peminat RXZ dari Sabah dan Sarawak.
Penganjuran acara itu bukan sahaja menjadi platform pertemuan peminat motosikal legenda tersebut, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, pengusaha hotel dan sektor pelancongan setempat.
Sehubungan itu, keputusan yang bakal diumumkan penganjur pada Jumaat ini dijangka menjadi tumpuan ramai memandangkan ia melibatkan kepentingan ribuan peserta yang telah membuat pelbagai persiapan untuk menghadiri RXZ Members 8.0. - DagangNews.com








