KUALA LUMPUR 15 Jun — Ancaman fenomena El Nino yang kini disahkan berlaku dijangka menjadi pemangkin utama kepada kenaikan ketara harga minyak sawit mentah (MSM), menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut menambah, kesan perkembangan itu sekali gus berpeluang meningkatkan lagi prospek pendapatan kebanyakan syarikat perladangan dalam tempoh dua tahun yang akan datang.
Sehubungan itu, ia menaik taraf sektor perladangan kepada ‘overweight’ daripada ‘neutral’, dengan beberapa kaunter dinamakan sebagai saham pilihan utama yang wajar diberikan perhatian oleh pelabur.
"Antaranya Johor Plantations Group (JPG), Sarawak Oil Palms (SOP), IOI Corporation (IOI), Hap Seng Plantations (HSP), London Sumatra Indonesia (LSIP) dan SD Guthrie (SDG)," kata RHB Research.
Ujarnya, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sudah pun mengeluarkan peringatan selepas mengesahkan fenomena itu mula berkembang dan akan mencapai tahap kuat pada November 2026 hingga Januari 2027.
Menurutnya, kebarangkalian El Nino yang tertinggi dianggarkan mencecah 88%, serta boleh memberi kesan negatif kepada pengeluaran minyak sawit dan mengurangkan hasil ladang sehingga dua tahun.
Berdasarkan data sejarah jelas RHB Research, hasil sawit ketika fenomena tersebut pada 1997-1998 dan 2015-2016, hasil sawit masing-masing merosot 17% dan 14% setahun selepas kesan iklim berlaku.

Artikel berkaitan: Malaysia berdepan krisis air dan tenaga serentak akibat 'Super' El-Nino hingga 2027, kata AWER
"Kekangan bekalan kelazimannya menyokong kenaikan harga MSM, dengan rekod menunjukkan harga purata naik hingga 21% ketika tahun El Nino dan bertambah 26% lagi pada tahun berikut pula," tambahnya.
Buat masa ini, firma itu mengekalkan unjuran harga MSM pada RM4,400 satu tan bagi 2026 dan RM4,300 satu tan bagi 2027, namun mengakui ada semakan menaik jika El Nino yang berlaku disahkan amat kuat.
Selain itu kata RHB Research, harga MSM turut berpotensi disokong daripada pelaksanaan skim tadbir urus eksport sumber asli Indonesia yang akan memperketatkan eksport minyak sawit negara tersebut.
Langkah itu dijangka meningkatkan kos pematuhan dan berpotensi menyebabkan kelewatan penghantaran eksport dari Indonesia, yang mengurangkan bekalan global serta menyokong harga komoditi berkenaan.
"Dalam pada itu, kami berpandangan kejatuhan harga saham syarikat perladangan serantau susulan perubahan dasar di Indonesia telah mewujudkan peluang pelaburan yang lebih menarik," jelasnya lagi.
Walaupun risiko geopolitik masih wujud, RHB Research percaya harga MSM akan kekal disokong pada paras semasa dengan potensi kenaikan lebih tinggi jika El Nino mencapai tahap terkuat. - DagangNews.com








