Kenanga gariskan 3 risiko utama bakal dihadapi pemain industri sawit dalam masa terdekat  | DagangNews Skip to main content

Kenanga gariskan 3 risiko utama bakal dihadapi pemain industri sawit dalam masa terdekat 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Paras inventori yang meningkat, permintaan beralih kepada minyak kacang soya serta kebimbangan persekitaran, sosial dan tadbir (ESG) dijangka mendatangkan risiko buat pemain industri sawit dalam masa terdekat ini. 

 

Bagi penganalisis di Kenanga Research, Adrian Kok, perbezaan premium minyak kacang soya dan minyak sawit mentah (MSM) pula dijangka tidak dapat memberi sokongan kepada harga MSM. 

 

Dalam masa sama, penganalisis itu juga tidak menolak kemungkinan penguatkuasaan percukaian yang lebih tinggi ke atas pemain industri, terutamanya melibatkan cukai durian runtuh.  

 

Bagi aspek inventori, setakat Ogos 2021, paras tersebut telah melompat kepada kira-kira 1.87 juta setiap metrik tan (MT), lonjakan sebanyak 25% berbanding bulan sebelumnya. 

 

Kok tidak menolak kemungkinan ia mampu meningkat lebih tinggi kepada kira-kira 2.0 MT dan seterusnya memberi tekanan ke atas harga MSM. 

 

“Daripada paras tertinggi pada Mei, harga MSM telah menyusut 28% pada Jun 2021 kepada paras terendah sekitar RM3,500 MT. Sejak itu harga tersebut telah mencatatkan pemulihan dengan lonjakan 34% dan kini diniagakan pada kira-kira RM4,600 MT. 

 

“Namun, dalam tempoh sama, indeks Perladangan KL (KLPLN) menyusut 5% dan hubung kait antara harga MSM dengan KLPLN hanya 12%, di mana kami melihat disebabkan oleh kebimbangan ESG dan pengeluaran,” jelas Kok dalam satu nota penyelidikan. 

 

Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan permintaan minyak masak akan beralih kepada minyak kacang soya daripada minyak kelapa sawit semasa musim sejuk. 

 

Seperti yang dijelaskan Kok berhubung perbezaan premium bagi kedua-dua produk tersebut yang tidak dapat menyokong harga MSM, beliau juga menjangkakan situasi itu akan menggalakkan lagi peralihan permintaan minyak masak. 

 

Pemain industri sawit di Malaysia pula berdepan risiko penguatkuasaan cukai yang lebih tinggi susulan pendirian kerajaan untuk meningkatkan hasil cukai yang berkemungkinan melonjakkan percukaian durian runtuh. 

 

Baca : Industri kelapa sawit mengalami kekurangan 2,000 tenaga kerja setiap bulan, ramal Kenanga

 

“Semasa perjumpaan kami dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOA), mereka berharap agar kerajaan menangani isu struktur percukaian semasa, dengan meningkatkan ambang cukai durian runtuh lebih tinggi. 

 

“Namun, melihatkan hasrat jelas kerajaan untuk meningkatkan hasil cukai, kami fikir terdapat risiko bahawa kadar cukai durian runtuh akan dinaikkan lebih tinggi,” kata Kok lagi.

 

Firma itu kekal ‘neutral’ ke atas sektor berkenaan dengan unjuran harga MSM kekal pada kadar RM3,700 MT untuk tahun ini. - DagangNews.com