KUALA LUMPUR 7 Julai – Penyedia infrastruktur tenaga, Tamco dan syarikat teknologi solar serta penyimpanan tenaga global, Hoymiles menjalin kerjasama strategik bagi menyokong pembangunan infrastruktur tenaga generasi baharu Malaysia.
Kerjasama itu menggabungkan kepakaran teknologi penyimpanan tenaga global Hoymiles dengan pengalaman industri tempatan Tamco dalam menyediakan penyelesaian infrastruktur kuasa bagi memperkukuh keupayaan sektor tenaga negara.
Sebagai langkah pertama kerjasama berkenaan, Tamco akan menjalankan pemasangan tempatan sistem penyimpanan tenaga bateri berskala utiliti (BESS) milik Hoymiles di Shah Alam, Selangor.
Sistem BESS berkapasiti 5 megawatt jam (MWh) dan 6 megawatt/jam (MWh) itu menggunakan teknologi penyejukan cecair serta dilengkapi keupayaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif Tamco Switchgear (Malaysia) Sdn Bhd, Wong Jun Pin berkata, kerjasama itu menjadi langkah penting dalam memperluaskan perkhidmatan tenaga yang ditawarkan syarikat selain memperkukuh kepakaran kejuruteraan dan teknikal tempatan.

Beliau berkata, pengalaman Tamco selama lebih enam dekad dalam menyediakan perkhidmatan infrastruktur kuasa akan menjadi asas penting dalam menyokong keperluan tenaga Malaysia yang semakin berkembang.
“Kerjasama bersama Hoymiles mencerminkan usaha kami untuk memperluas keupayaan dalam menyediakan perkhidmatan tenaga masa depan, selain membangunkan kemahiran teknikal yang diperlukan bagi menyokong infrastruktur tenaga negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi dan Naib Presiden Hoymiles, Dr Zhao Yi berkata, kejayaan pelaksanaan teknologi tenaga moden bergantung kepada kerjasama kukuh dengan rakan kongsi tempatan yang memahami keadaan pasaran setempat.
Beliau berkata, kepakaran kejuruteraan Tamco serta pemahaman mendalam terhadap persekitaran operasi Malaysia menjadikan syarikat itu rakan strategik sesuai untuk membawa pengalaman global Hoymiles ke pasaran tempatan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid pula berkata, kerjasama itu menunjukkan bagaimana kepakaran global boleh digabungkan dengan keupayaan industri tempatan bagi memperkukuh rantaian bekalan negara.

Menurut beliau, usaha seperti itu selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam mempercepatkan penggunaan teknologi tenaga bersih.
Selain pemasangan tempatan, kerjasama Tamco dan Hoymiles turut merangkumi integrasi sistem, ujian, pentauliahan, perkhidmatan sokongan serta penyelenggaraan jangka panjang.
Kerjasama itu juga akan diperluaskan kepada perkongsian pengetahuan teknikal, pembangunan tenaga pakar dan usaha meningkatkan kandungan tempatan.
Malaysia kini sedang mempercepatkan peralihan tenaga dengan sasaran tenaga boleh diperbaharui menyumbang 40% daripada kapasiti elektrik terpasang menjelang 2035 dan meningkat kepada 70% menjelang 2050.
Seiring peningkatan pelaburan dalam tenaga solar, pembuatan maju dan infrastruktur digital, sistem penyimpanan tenaga seperti BESS dijangka memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan elektrik lebih stabil serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara. - DagangNews.com








