KUALA LUMPUR 7 Julai – MCE Holdings Bhd (MCE) memperkukuh kedudukannya dalam industri elektronik automotif menerusi pelancaran MCE Auto Hub, sebuah hab pembuatan pintar bernilai RM50 juta di UMW High Value Manufacturing Park, Serendah yang dijangka menggandakan lebih dua kali kapasiti pengeluaran syarikat serta meningkatkan keupayaan dalam pembangunan teknologi mobiliti generasi baharu.
Kemudahan seluas lapan ekar itu merupakan fasa pertama pelan pelaburan jangka panjang MCE bernilai sehingga RM200 juta dan bakal menjadi pusat utama kumpulan bagi aktiviti reka bentuk, kejuruteraan, pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Hab berkenaan direka berteraskan konsep Industri 4.0 dengan kemudahan bilik bersih (clean room) dan persekitaran pengeluaran yang dikawal rapi bagi memenuhi keperluan pembuatan elektronik automotif berteknologi tinggi untuk kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) serta kenderaan elektrik (EV).
Pelaburan itu bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran MCE, malah mengukuhkan keupayaan syarikat menghasilkan produk elektronik automotif dan penyelesaian mekatronik bernilai tinggi bagi memenuhi permintaan pelanggan di Malaysia, ASEAN dan pasaran antarabangsa.
Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr. Goh Kar Chun berkata, MCE Auto Hub menjadi pemangkin kepada transformasi syarikat daripada pengeluar komponen automotif konvensional kepada pemain teknologi automotif yang menawarkan penyelesaian elektronik lebih canggih.
"Hari ini kami membekalkan penyelesaian elektronik automotif dan mekatronik kepada pelanggan di Malaysia, ASEAN serta Amerika Syarikat. MCE Auto Hub mencerminkan keyakinan kami bahawa keupayaan kejuruteraan, bakat dan pembuatan Malaysia mampu bersaing di peringkat global," katanya sempena majlis pelancaran hab berkenaan hari ini oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sokong Pembangunan Produk Segmen ICE dan EV
Dengan pengoperasian hab itu, MCE kini mempunyai tenaga kerja seramai 680 orang termasuk 90 jurutera di fasilitinya di Johor Bahru, Pelabuhan Klang dan Serendah, sekali gus memperkukuh keupayaan syarikat menyokong pembangunan produk bagi segmen ICE dan EV.
Selain meningkatkan kecekapan operasi, MCE Auto Hub dijangka memperluaskan usaha penyetempatan (localisation) dalam industri automotif dengan membuka lebih banyak peluang kepada jurutera, syarikat teknologi serta pembekal tempatan untuk terlibat dalam reka bentuk, pembangunan dan pembuatan teknologi automotif bernilai tinggi di Malaysia.
Johari berkata, pelaburan itu mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap masa depan industri automotif negara serta usaha berterusan memperkukuh keupayaan pembuatan bernilai tinggi.
Beliau berkata, dalam persekitaran industri yang semakin kompetitif, syarikat tempatan perlu terus meningkatkan kecemerlangan pembuatan menerusi pembangunan kepakaran kejuruteraan, inovasi dan penggunaan teknologi moden.
Menurut MCE, Auto Hub itu juga akan menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara pengeluar kenderaan, pembekal Tier-1 serta syarikat semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E), sekali gus mempercepat pembangunan teknologi automotif tempatan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab elektronik automotif serantau.
Pelancaran MCE Auto Hub turut selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan sektor pembuatan termaju serta meningkatkan penyertaan industri tempatan dalam aktiviti bernilai tinggi merentasi rantaian bekalan automotif global. - DagangNews.com








