KUALA LUMPUR 7 Julai – SHH Resources Holdings Berhad memperkukuhkan barisan kepimpinan apabila melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Ts Dr Nazry Yahya, sebagai Pengerusi Eksekutif.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, jawatan baharu tersebut diwujudkan berkuat kuasa hari ini, dalam langkah yang dilihat sebagai usaha memacu pelaksanaan strategi pertumbuhan.
Nazry, 55, sebelum ini menyandang jawatan CEO Kumpulan SHH Resources sejak 1 Ogos 2024 dan sudah berpengalaman menerajui pelbagai inisiatif operasi serta pembangunan strategik syarikat berkenaan.
"Beliau merupakan lulusan Doktor Perdagangan daripada Flinders University, Australia, serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Charles Sturt University, Australia," tambah kumpulan itu.
Selain itu, Nazry memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kewangan), University of Arizona, Amerika Syarikat (AS), yang melengkapkan latar belakang akademiknya dalam bidang pengurusan dan kewangan.
Sebelum menyertai SHH Resources, beliau berkhidmat dalam pelbagai jawatan di bawah MMC Group, termasuk Pengurus Besar JP Logistics dan Pengurus Negara VPDD JP Logistics (Vietnam) Limited.
Nazry pernah memegang jawatan pengurusan di FedEx (Malaysia) Sdn Bhd, Kintetsu World Express Sdn Bhd dan Sime Bank Berhad, sekali gus memiliki pengalaman sektor logistik, operasi dan perkhidmatan.
"Pada peringkat awal kerjaya, beliau berkhidmat di Johor Corporation (JCorp) sebagai Pengurus Dana Pelaburan Johor Berhad, serta Naib Presiden Operasi dan Pengurusan Aset PJB Pacific Securities.
Selain pengalaman korporat, beliau merupakan Ahli Teknologis Profesional berdaftar dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) serta Ahli Bertauliah Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT).
Pelantikan Nazry dijangka memperkukuhkan kesinambungan kepimpinan SHH Resources melalui gabungan pengalaman luas ketika syarikat terus melaksanakan strategi perniagaan. - DagangNews.com








