Master Tec raih lanjutan kontrak TNB bernilai RM110 juta bagi bekalan kabel bawah tanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Master Tec raih lanjutan kontrak TNB bernilai RM110 juta bagi bekalan kabel bawah tanah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai – Master Tec Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Master Tec Wire & Cable Sdn Bhd (MTWC) menerima lanjutan kontrak daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM109.54 juta.

 

Lanjutan kontrak selama setahun itu membabitkan pembekalan dan penghantaran kabel bawah tanah serta konduktor pelbagai saiz untuk kegunaan Bahagian Rangkaian Pengagihan TNB.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Master Tec berkata tempoh kontrak berkenaan adalah dari 10 Ogos 2026 hingga 9 Ogos 2027.

 

“Lanjutan tersebut merupakan sebahagian daripada kontrak TNB104/2025 yang pada asalnya bernilai RM107.75 juta, termasuk tambahan dan komponen nilai pilihan berkaitan.

 

“Dengan mengambil kira lanjutan terbaharu itu, jumlah keseluruhan rangka kerja kontrak berkenaan mencecah kira-kira RM251.94 juta.

 

“Kontrak itu mencerminkan keupayaan Master Tec dalam menyokong rantaian bekalan infrastruktur elektrik Malaysia, khususnya dalam penyelesaian kabel bawah tanah dan konduktor yang digunakan bagi rangkaian pengagihan tenaga,” katanya.

 

Menurut syarikat itu, kepercayaan daripada TNB bukan hanya bergantung kepada kapasiti pengeluaran, sebaliknya turut melibatkan keupayaan memenuhi piawaian teknikal yang ketat, memastikan kualiti produk secara konsisten serta mengekalkan tahap penghantaran yang cekap dan boleh dipercayai.

 

t

 

Pembekalan kabel kepada syarikat utiliti nasional seperti TNB turut menunjukkan pengiktirafan terhadap kemampuan pengeluar tempatan dalam menyediakan komponen penting bagi memastikan kestabilan serta keselamatan sistem bekalan elektrik negara.

 

Master Tec berkata, permintaan terhadap kabel dijangka terus berkembang sejajar dengan keperluan menaik taraf rangkaian elektrik, peningkatan penggunaan tenaga, perkembangan sektor perindustrian serta usaha mengintegrasikan sumber tenaga boleh diperbaharui ke dalam sistem tenaga negara.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Master Tec Group, Tee Kok Hwa berkata lanjutan kontrak itu mengiktiraf keupayaan pembuatan syarikat dan peranannya dalam menyokong pembangunan infrastruktur tenaga berskala nasional.

 

“Kabel bawah tanah bukan sekadar produk biasa, sebaliknya merupakan komponen penting yang menentukan kebolehpercayaan dan keselamatan rangkaian pengagihan elektrik.

 

“Kami berbangga untuk terus menyokong Bahagian Rangkaian Pengagihan TNB dengan produk yang memenuhi keperluan kualiti dan penghantaran yang tinggi.

 

“Perkembangan itu turut menggambarkan kemajuan Master Tec dalam membina kapasiti pengeluaran, kepakaran teknikal serta keyakinan pelanggan terhadap produk keluaran syarikat,” katanya.

 

Pada masa sama, Master Tec memaklumkan bahagian perniagaan pembuatan menerusi MTWC mempunyai buku tempahan tertunggak bernilai RM231.65 juta, manakala anak syarikat perkhidmatan infrastrukturnya, Sediacom Sdn Bhd merekodkan buku tempahan tertunggak sebanyak RM89.36 juta.

 

Dengan kedudukan pesanan yang kukuh serta rekod pengalaman dalam pembekalan kabel, Master Tec yakin berada pada kedudukan baik untuk merebut peluang daripada peningkatan pelaburan dalam sistem tenaga, pembangunan industri dan projek peralihan tenaga Malaysia pada masa hadapan. - DagangNews.com