Reservoir Link raih kontrak lima tahun daripada PETRONAS Carigali bagi perkhidmatan kawalan pasir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reservoir Link raih kontrak lima tahun daripada PETRONAS Carigali bagi perkhidmatan kawalan pasir

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Julai - Reservoir Link Energy Bhd memperoleh kontrak selama lima tahun daripada PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) bagi penyediaan peralatan dan perkhidmatan kawalan pemulihan pasir.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak berkenaan telah dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Reservoir Link Sdn. Bhd. (RLSB), menerusi Surat Anugerah (LOA) yang diterima pada 21 Mei 2026.

 

Kontrak itu berkuat kuasa mulai 21 Mei 2026 hingga 20 Mei 2031 dan akan dilaksanakan secara 'call-off basis', dengan nilai kontrak bergantung kepada jumlah kerja sebenar yang diarahkan serta disiapkan dengan memuaskan.

 

Di bawah skop kontrak, RLSB akan membekalkan skrin pasir, aksesori dan perkhidmatan berkaitan bagi operasi kawalan pasir, termasuk tenaga kerja, peralatan, bahan kimia sand consolidation dan sand agglomeration serta penyelesaian kejuruteraan seperti perancangan, reka bentuk, simulasi, ujian dan analisis menggunakan perisian milik syarikat.

 

Kontrak itu turut melibatkan pembekalan sistem penyiapan telaga yang mematuhi piawaian antarabangsa seperti API dan ISO, selain kerja pemasangan lengkap skrin pasir dan aksesori bagi operasi medan minyak PCSB.

 

Reservoir Link berkata kontrak tersebut dijangka tidak memberi kesan material terhadap modal saham, struktur pegangan saham, aset bersih sesaham atau tahap penggearan syarikat.

 

Bagaimanapun, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 serta sepanjang tempoh kontrak.

 

Syarikat itu berkata pelaksanaan kontrak tertakluk kepada risiko operasi biasa seperti ketersediaan tenaga kerja mahir, bekalan bahan, turun naik kos operasi serta perubahan dalam persekitaran politik, ekonomi dan kawal selia.

 

"Bagaimanapun, kumpulan mempunyai rekod prestasi, kepakaran teknikal dan pengalaman yang mencukupi untuk melaksanakan skop kerja berkenaan serta mengurus risiko yang berkaitan," katanya. - DagangNews.com