KUALA LUMPUR 4 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan pengerusinya tidak pernah menghantar sebarang e-mel kepada orang ramai untuk membantu memindahkan hadiah wang tunai daripada syarikat telekomunikasi.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, e-mel itu dikatakan menawarkan untuk memindahkan hadiah kemenangan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM270,000 daripada Telekom Malaysia ke akaun bank penerima e-mel.
“Oleh itu orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel yang tidak dapat disahkan kebenarannya,” katanya.
MCMC juga menasihatkan orang ramai supaya tidak memberikan butiran peribadi seperti maklumat perbankan internet dan maklumat kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali.
Orang ramai juga digesa supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 jika mereka telah membuat transaksi perbankan kepada mana-mana akaun kononnya untuk tujuan yuran pemprosesan sebelum hadiah boleh dituntut. - DagangNews.com








