RT Pastry peroleh pensijilan halal JAKIM bagi kilang pengeluaran utama di Seri Kembangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RT Pastry peroleh pensijilan halal JAKIM bagi kilang pengeluaran utama di Seri Kembangan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai – RT Pastry Holdings Bhd telah memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi kilang pengeluaran utamanya di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

 

Syarikat bakeri itu berkata, pensijilan halal itu adalah satu lagi pencapaian penting dalam usaha mereka memastikan keseluruhan rantaian pengeluaran mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.

 

“Kilang itu yang menjadi pusat pengeluaran utama RT Pastry kini secara rasmi diiktiraf halal oleh JAKIM, badan autoriti utama dalam pensijilan halal di Malaysia.

 

“Sijil halal berkenaan dikeluarkan pada 1 Julai dan sah sehingga 30 Jun 2028, memberikan tempoh pematuhan jangka panjang kepada syarikat untuk terus mengekalkan standard yang ditetapkan.

 

“Pensijilan tersebut turut meliputi pelbagai jenis produk keluaran RT Pastry termasuk kek, swiss roll (gulungan kek), pastri, biskut, pencuci mulut serta beberapa produk bakeri lain di bawah rangkaian syarikat kami,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ia diberikan berdasarkan pematuhan kepada Standard Halal Malaysia MS1500:2019, iaitu garis panduan ketat yang merangkumi aspek sumber bahan, proses pengeluaran, pengendalian serta kebersihan bagi memastikan semua produk memenuhi kehendak syarak.

 

t

 

Selain kilang tersebut, RT Pastry turut memiliki satu lagi kilang pengeluaran iaitu yang terletak di Glenmarie, yang telah memperoleh pensijilan halal JAKIM lebih awal pada tahun 2023.

 

Dengan pensijilan di kedua-dua fasiliti tersebut, syarikat itu kini berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk memastikan konsistensi pematuhan halal merentasi keseluruhan operasi pengeluarannya.

 

Menurut kenyataan pengurusan, pensijilan halal bukan sekadar memenuhi keperluan peraturan, sebaliknya mencerminkan komitmen syarikat terhadap kualiti produk, integriti operasi dan keyakinan pengguna.

 

“Pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha kami untuk memperluaskan lagi rangkaian produk, di samping memastikan lebih ramai pengguna di Malaysia dapat menikmati produk RT Pastry dengan lebih yakin.

 

“Dalam masa yang sama, syarikat percaya bahawa status halal yang kukuh akan membantu meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap jenama khususnya dalam pasaran makanan dan bakeri yang semakin kompetitif,” katanya. - DagangNews.com