KUALA LUMPUR 6 Julai – JcbNext Berhad terus menyusun semula portfolio pelaburan apabila melupuskan pegangan dalam sekuriti tersenarai bernilai RM29.01 juta selama tiga hari dari 4 Julai 2026.
Bagaimanapun, kumpulan itu masih mengekalkan portfolio pelaburan saham bernilai hampir RM200 juta, sekali gus mencerminkan strategi pengurusan aset yang aktif bagi mengoptimumkan pulangan pelaburan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata pelupusan sekuriti tersenarai itu dilaksanakan sehingga 6 Julai 2026, dengan jumlah pertimbangan yang diterima mencecah sebanyak RM29.01 juta.
"Pengumuman ini selaras Perenggan 9.20 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas nilai agregat pelupusan itu melebihi 5% daripada aset bersih disatukan teraudit," kata JcbNext.
Tambahnya lagi, nilai pelupusan berkenaahn mewakili kira-kira 6.44% daripada keseluruhan aset bersih disatukan teraudit berdasarkan penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2025.
Walaupun begitu, kumpulan itu masih mempunyai pegangan yang besar dalam sekuriti tersenarai di beberapa bursa saham, dan menunjukkan pelaburan dalam instrumen kewangan kekal komponen penting.
Setakat 6 Julai 2026, jumlah kos pelaburan JcbNext dalam sekuriti tersenarai adalah sebanyak RM168.21 juta, selepas berjaya merealisasikan sebahagian pelaburan menerusi pelupusan tertentu.
"Nilai dibawa atau nilai buku portfolio pelaburan tersebut pula berjumlah RM199.71 juta, sekali gus mencerminkan berlaku peningkatan secara ketara berbanding kos asal pelaburan syarikat," jelasnya.
Pada masa sama ujar JcbNetx, nilai pasaran semasa keseluruhan pegangan sekuriti tersenarai itu dianggarkan sekitar RM197.20 juta, iaitu hampir menyamai nilai buku yang direkodkan syarikat.
Makluman itu namun tidak memperincikan saham yang dilupuskan, atau tujuan transaksi berkenaan, sama ada bagi meraih keuntungan pelaburan, mengimbangi portfolio atau memenuhi keperluan pengurusan.
Pengumuman tersebut turut tidak menyatakan sebarang perubahan terhadap strategi pelaburan keseluruhan syarikat atau implikasi kewangan yang dijangka hasil daripada pelupusan berkenaan.
"Langkah JcbNext melaksanakan pelupusan itu mencerminkan amalan pengurusan portfolio pelaburan secara aktif, dan memberi ruang memanfaatkan pasaran mengikut keadaan ekonomi," katanya. - DagangNews.com








