KUALA LUMPUR 6 Julai – Malaysia mencatat peningkatan ketara dalam tahap keselamatan makanan negara pada tahun 2024 apabila skor Indeks Keselamatan Makanan Malaysia (MFSI) meningkat kepada 61.5 berbanding 54.5 pada tahun 2023 dengan penarafan “prestasi baik” buat pertama kali menerusi indeks tersebut.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, peningkatan ini mencerminkan pengukuhan ketara dalam sistem keselamatan makanan negara secara menyeluruh dengan menggunakan data rasmi yang selaras dengan rangka kerja antarabangsa.
“Ia mengukur empat dimensi utama iaitu ketersediaan, akses, penggunaan dan kestabilan, melibatkan 25 indikator utama yang dipantau dari tahun 2013 hingga 2024.
“Peningkatan keseluruhan indeks ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem makanan negara yang lebih berdaya tahan, mampan serta inklusif untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara empat dimensi tersebut, Indeks Akses mencatat lonjakan paling ketara dengan peningkatan kepada 79.9 pada 2024 berbanding 59.6 pada tahun sebelumnya didorong oleh beberapa faktor utama termasuk kawalan inflasi makanan, peningkatan pendapatan isi rumah serta akses infrastruktur yang lebih baik.
Dalam komponen ini, inflasi makanan merekodkan skor tertinggi iaitu 84.1, diikuti keadaan jalan tidak berturap pada 83.6, serta median gaji dan upah pada 81.9, menunjukkan kemampuan rakyat untuk mendapatkan makanan semakin baik dari sudut kos dan akses.
Selain itu, DOSM berkata, Indeks Kestabilan turut mencatat peningkatan kepada 54.6 berbanding 40.2 pada tahun 2023 yang dipacu oleh peningkatan penggunaan makanan per kapita serta keadaan suhu yang lebih stabil dari segi faktor cuaca.

“Bagi Indeks Penggunaan, ia turut meningkat secara sederhana kepada 50.4 berbanding 48.5 sebelum ini, disokong oleh penambahbaikan dalam aspek kesihatan awam.
“Antara indikator yang menunjukkan peningkatan termasuk status pemakanan kanak-kanak bawah lima tahun, jangka hayat ketika lahir serta akses kepada sumber air bersih,” katanya.
Namun, Indeks Ketersediaan mencatat penurunan kepada 50 pada 2024 berbanding 54.3 pada 2023, dipengaruhi oleh prestasi lebih lemah dalam import dan eksport produk pertanian makanan utama, kehilangan lepas tuai serta bekalan tenaga makanan per kapita.
Walaupun begitu, terdapat perkembangan positif apabila pengeluaran beberapa produk pertanian makanan utama menunjukkan peningkatan, selain beberapa indikator seperti bekalan tenaga makanan per kapita dan eksport masih kekal antara penyumbang skor tertinggi dalam komponen tersebut.
DOSM menjelaskan peningkatan keseluruhan indeks ini didorong terutamanya oleh kemajuan dalam aspek akses dan kestabilan, yang menunjukkan rakyat Malaysia kini lebih mudah mendapatkan makanan meskipun berdepan cabaran dalam aspek bekalan dalam negara.
Tambahnya, pelaksanaan indeks ini turut menjadi alat penting berasaskan bukti bagi menyokong perancangan dasar negara, termasuk pelaksanaan Dasar Keselamatan Makanan Negara 2030 serta Rancangan Malaysia Ke-13, selain membantu mengenal pasti bidang yang memerlukan intervensi strategik.
Secara keseluruhannya, MFSI 2024 menggambarkan landskap keselamatan makanan Malaysia yang semakin kukuh dari segi akses dan kestabilan, namun masih memerlukan penambahbaikan berterusan dalam aspek ketersediaan bekalan makanan bagi memastikan ketahanan jangka panjang sistem makanan negara. - DagangNews.com








