KUALA LUMPUR 6 Julai – Permaju Industries Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Cergaz Autohaus Sdn Bhd (CASB) menandatangani perjanjian pengedar dengan Chery Auto Malaysia Sdn Bhd bagi pelantikan sebagai pengedar sah kenderaan LEPAS di kawasan pasaran yang ditetapkan.
Dalam pemakluman di Bursa Malaysia, Permaju berkata CASB dilantik sebagai pengedar bukan eksklusif bagi kenderaan LEPAS untuk tempoh perjanjian bermula 8 Julai 2026 hingga 30 Jun 2028, dengan hak untuk membeli, memasarkan dan menjual kenderaan tersebut di kawasan pasaran yang ditetapkan.
Perjanjian itu turut membolehkan CASB menggunakan tanda dagangan berkaitan, mempromosikan jenama LEPAS serta menjalankan aktiviti jualan dan perkhidmatan selepas jualan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh Chery Auto Malaysia.
Permaju menjelaskan, harga kenderaan akan ditentukan oleh pihak Chery Auto Malaysia dari semasa ke semasa, manakala CASB perlu membuat pembayaran penuh sebelum penghantaran dibuat, dengan hak milik kenderaan kekal di bawah syarikat induk sehingga pembayaran selesai.
Bagaimanapun, pelantikan tersebut adalah bersifat bukan eksklusif, sekali gus membolehkan Chery Auto Malaysia melantik lebih daripada satu pengedar dalam kawasan pasaran yang sama pada bila-bila masa.
Selain itu, CASB turut diwajibkan memenuhi beberapa syarat tambahan dalam tempoh tiga bulan termasuk penubuhan fasiliti pengedaran tetap, pematuhan modal berbayar minimum serta keperluan operasi lain yang ditetapkan.
Syarat operasi perlu dipenuhi dalam tempoh tiga bulan
Kegagalan memenuhi syarat tersebut boleh menyebabkan perjanjian digantung atau ditamatkan serta-merta oleh Chery Auto Malaysia, menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia.
Perjanjian itu juga menetapkan sasaran tahunan termasuk jumlah jualan kenderaan, perolehan alat ganti dan aksesori serta tahap inventori minimum yang perlu dicapai oleh CASB. Sekiranya gagal, CASB perlu mengemukakan pelan tindakan pembetulan untuk kelulusan pihak prinsipal.
Permaju berkata pelantikan ini adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk memperkukuh kedudukan dalam sektor automotif melalui pengembangan portfolio kenderaan dan peningkatan daya saing pasaran.
“Pelantikan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan melalui jualan kenderaan, perkhidmatan selepas jualan dan jualan alat ganti,” menurut syarikat itu dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.
Syarikat itu menambah, perjanjian berkenaan tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan sesaham atau aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026, namun dijangka memberi sumbangan positif dalam jangka panjang.
Tiada sebarang kepentingan pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dalam perjanjian tersebut, kata Permaju, sambil menegaskan bahawa lembaga pengarah berpendapat pelantikan itu adalah terbaik untuk kepentingan syarikat dan pemegang saham. - DagangNews.com








