UOB Malaysia catat peningkatan pendapatan operasi 15.2% kepada RM3.9 bilion pada 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UOB Malaysia catat peningkatan pendapatan operasi 15.2% kepada RM3.9 bilion pada 2022

Ng Wei Wei
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mei - UOB Malaysia mencatat peningkatan 15.2% kepada RM3.9 bilion dalam jumlah pendapatan operasinya pada 2022 berbanding tahun sebelumnya, yang sebahagian besarnya disebabkan pendapatan bukan faedah dan pendapatan faedah bersih yang lebih kukuh.

 

UOB dalam kenyataan hari ini berkata, pendapatan faedah bersih meningkat 11.3% kepada RM2.7 bilion hasil daripada pengurusan penyata imbangan yang proaktif UOB Malaysia, ditambah pula dengan pergerakan kadar faedah yang menggalakkan sepanjang 2022. 

 

Sementara itu katanya, pendapatan bukan faedah melonjak 28.3% kepada RM1.1 bilion, berikutan usaha berterusan bank untuk memanfaatkan keupayaan dan rangkaian serantaunya.

 

"UOB Malaysia melaporkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada biasa sebanyak RM2.3 bilion (peningkatan 69.7% tahun ke tahun), sebahagian besarnya dikaitkan kepada kos sekali sahaja untuk mengambil alih perniagaan perbankan pengguna Citigroup di negara ini. 

 

"Pengambilalihan tersebut adalah sebahagian daripada langkah strategik UOB untuk mengukuhkan kedudukannya di Malaysia. 

 

"Pada masa sama, bank terus melabur dalam infrastruktur teknologi bagi menyokong pertumbuhan perniagaan di masa hadapan. Berikutan ini, bank melaporkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.3 bilion, atau 12.9% lebih rendah daripada tahun sebelumnya," katanya.

 

Menurut UOB, bersama francais runcit daripada perniagaan perbankan pengguna Citi, pinjaman kasar, pendahuluan, dan pembiayaan UOB Malaysia, serta portfolio deposit bukan bank, meningkat dengan ketara kepada RM105.7 bilion berbanding RM90 bilion pada 2021 dan RM110.9 bilion (2021: RM97.1 bilion).

 

uob

 

 

Katanya, dengan pemulihan ekonomi yang kukuh selepas pandemik, jumlah peruntukan untuk jangkaan kerugian kredit menurun 70.9% atau RM340.7 juta. 

 

"Ini sebahagian besarnya disebabkan hapus kira jangkaan kerugian kredit bagi aset tidak terjejas, serta komitmen dan luar jangka, ditambah dengan jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah bagi aset terjejas," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, 2022 merupakan tahun yang amat penting bagi pihaknya, yang mana pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citi telah selesai pada November, sekali gus mengukuhkan francais runcitnya dengan portfolio, saluran perkhidmatan dan rangkaian rakan kongsi lebih luas. 

 

Katanya, berpandukan strategi pertumbuhan tiga tahun, pihaknya terus mengubah dan meningkatkan infrastruktur, keupayaan digital, rangkaian, tenaga insan dan jenamanya. 

 

"Selama lebih 70 tahun, UOB telah berkembang seiring dengan Malaysia dan kami sentiasa yakin potensi pertumbuhan jangka panjang negara. Ini dapat dilihat melalui pelaburan berterusan kami termasuk ibu pejabat baharu yang canggih dan hijau, UOB Plaza 1 KL," katanya. - DagangNews.com