KUALA LUMPUR 12 Mei - Keuntungan bersih MR DIY Group Berhad melonjak 27% kepada RM127.8 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM100.6 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Manakala pendapatan pada suku tersebut juga meningkat 15.6% kepada RM1 bilion daripada RM905 juta pada suku pertama 2022.
“Pertumbuhan pendapatan didorong oleh pertumbuhan dalam jualan kedai, termasuk sumbangan positif daripada cawangan baharu.
“Seterusnya, kedua-dua faktor ini membawa kepada peningkatan dalam volum urus niaga yang meningkat 18.1% tahun ke tahun kepada 38.2 juta urus niaga,” katanya.
Kumpulan itu berkata rangkaian kedai telah berkembang daripada 1,080 kedai pada FY22 kepada 1,125 kedai setakat 31 Mac 2023 merentas tiga jenamanya, MR DIY, MR TOY dan MR DOLLAR.
MR DIY turut mengisytiharkan dividen sebanyak RM56.6 juta untuk 1QFY23, bersamaan dengan pembayaran dividen sebanyak 44.3% daripada pendapatan bersih.
Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata kumpulan itu kekal komited dalam strategi pengembangan cawangan.
“Sasaran kami ialah membuka 180 kedai baharu merentas semua jenama pada 2023, yang akan menjadikan jumlah cawangan di seluruh negara kepada lebih 1,200 dan mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan sebagai peruncit pembaikan rumah terbesar di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kumpulan berhati-hati optimis terhadap prospeknya pada masa hadapan berikutan masih terdapat kebimbangan mengenai kesan ke atas pendapatan isi rumah memandangkan kos sara hidup meningkat.
Bagaimanapun, Ong berkata, ini juga meletakkan kumpulan itu dalam kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada permintaan yang kukuh untuk barangan harian mampu milik dalam konteks tekanan inflasi berterusan ke atas pengguna.
“Persekitaran pengangkutan lebih baik juga memihak kepada prestasi yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya. -DagangNews.com








