KUALA LUMPUR 4 April - TRC Synergy Berhad masih mengintai peluang untuk memenangi pakej kerja CMC301 projek MRT3 dengan bidaan RM3.1 bilion.
Susulan pertemuan dengan kumpulan baru-baru ini, TA Securities kekal optimis dengan berhati-hati terhadap prospeknya, di mana kumpulan itu kini disokong oleh buku pesanan pembinaan tertunggak sekitar RM7 juta, manakala buku tender semasa berjumlah sekitar RM3.8 bilion.
Rekod prestasi meluas kumpulan itu dalam kereta api dan kerja-kerja berkaitan memberikannya peluang baik untuk memenangi kontrak tersebut yang melibatkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, stesen bertingkat, depoh dan kerja berkaitan lain dari Pandan ke Jalan Cheras di Kuala Lumpur.
“Sekiranya kumpulan itu gagal memenangi bidaan untuk menjadi kontraktor awam utama, kami percaya kumpulan itu masih mempunyai peluang yang baik untuk menjadi kontraktor pakej kerja,” katanya dalam nota hari ini.
Di samping itu, TRC Synergy akan meneruskan Projek Ara Sentral Fasa 2 di Ara Damansara, Selangor yang disasarkan pelancarannya tahun hadapan, membawa anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta.
Bagaimanapun, pihak pengurusan memberi petunjuk bahawa perniagaan hartanah di Australia dijangka kekal hambar memandangkan persekitaran kadar faedah yang meningkat, namun, perniagaan hotel di Australia berada di landasan untuk pulih.
Firma itu turut memaklumkan kumpulan itu baru-baru ini telah menerima bayaran penuh daripada Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).
“Berikutan pembayaran itu, tunai bersih kumpulan dianggarkan meningkat daripada RM115.4juta (24sen sesaham) pada suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY22) kepada RM185.4 juta (38.5sen sesaham),” jelasnya.
Sebelum ini, TRC Synergy telah memulakan prosiding timbang tara terhadap BEDB berhubung pertikaian kontrak kerja terminal lapangan terbang pada Januari 2020.
Susulan kemenangan timbang tara itu, BEDB diperintah untuk membayar B$18.7 juta (RM60.2 juta) kepada kumpulan itu dengan tambahan selepas memasukkan faedah dan yuran guaman, jumlah penyelesaian akhir adalah sekitar RM70 juta.
TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 43 sen sesaham. -DagangNews.com








