TIV pecah rekod pada Mac, mampu capai sasaran 700,000 unit bagi 2023 – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TIV pecah rekod pada Mac, mampu capai sasaran 700,000 unit bagi 2023 – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 April - Jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan Mac telah memecahkan rekod dengan mencatatkan 78,800 unit iaitu lonjakkan 23% MoM, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia merupakan paras tertinggi bulanan dalam sejarah Malaysia, melepasi jumlah tertinggi sebelum ini sebanyak 76,700 unit pada Disember 2022.

 

Namun, peningkatan tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan disebabkan kesemua francais auto tergesa-gesa untuk memenuhi tempahan sebelum pengecualian SST berakhir pada penghujung Mac.

 

Firma itu berkata peningkatan ini meletakkan sektor automotif di landasan untuk mencapai sasaran 700,000 unit dalam tahun 2023 yang setakat ini telah direalisasikan sebanyak 28%.

 

Sasaran tersebut adalah realistik memandangkan tempahan masih kuat selepas pandemik sementara cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikecualikan, disokong oleh pelbagai pelancaran baharu dan pesanan tertunggak yang masih tinggi di seluruh pasaran, jelasnya.

 

“Walaupun hampir semua marque, kecuali Toyota, menikmati pertumbuhan MoM yang kukuh, Perodua merupakan satu-satunya francais yang mencatatkan rekod jualan bulanan baharu dengan pencapaian 32,200 unit mengatasi paras tertinggi sebelumnya iaitu 31,200 unit pada Disember 2022.

 

Begitu juga jumlah pengeluaran industri (TIP) Mac berada pada rekod tertinggi iaitu 76,100 unit berbanding 69,400 unit pada September 2022, menunjukkan kebimbangan terhadap isu gangguan rantaian bekalan semakin berkurang dan pesanan masih kukuh selepas pandemik dan pengecualian SST,” katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan TIV menyusut bulan ke bulan (MoM) pada April selepas memecah rekod pada Mac dan tempoh yang pendek disebabkan Hari Raya Aidilfitri bulan ini.

 

Walaupun tidak menjangkakan TIV 2023 melebihi 721,000 unit tahun 2022, ia masih boleh menyamai dengan potensi mencecah 700,000 unit iaitu purata 56,400 unit sebulan pada April sehingga Disember 2023, untuk tempahan yang dilihat masih sangat mampan merentas kebanyakan francais utama, kata firma penyelidikan itu.

 

“Ini akan menjadi pencapaian yang membanggakan dan melepasi anggaran MAA sebanyak 650,000 unit atau purata 54,200 unit sebulan dengan mudah.

 

Perodua menyasarkan peningkatan 27% tahun ke tahun (YoY) atau 314,000 unit jualan kenderaannya, manakala Proton boleh menandingi pencapaian Perodua sekiranya ia mengekalkan jualan bulanan sebanyak 13,300 unit,” tambahnya dalam nota hari ini.

 

Pilihan firma itu dalam sektor ini dengan saranan ‘beli’ adalah Bermaz Auto Berhad pada harga sasaran (TP) RM3.55 sesaham, MBM Resources Bhd (TP: RM4.80) dan UMW Holdings Berhad (TP: RM5.30), manakala Tan Chong Motor Holdings Bhd dengan saranan ‘jual’ TP RM1.00. -DagangNews.com