KUALA LUMPUR 7 Julai - Sebanyak 71,101 rumah percutian beroperasi di seluruh negara pada 2025, dengan menjana anggaran hasil sebanyak RM2.2 bilion, menurut Buletin Statistik Rumah Percutian: Banci Ekonomi 2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan berterusan industri itu mencerminkan peningkatan permintaan terhadap penginapan alternatif serta sumbangannya yang semakin besar kepada aktiviti pelancongan dan sektor perkhidmatan.
"Industri rumah percutian terus mewujudkan kesan limpahan ekonomi yang positif menerusi peningkatan permintaan terhadap penginapan, pengangkutan, perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan runcit serta aktiviti rekreasi.
"Ia juga menyediakan peluang pendapatan kepada komuniti tempatan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), di samping menyokong pembangunan wilayah yang lebih seimbang serta pertumbuhan pelancongan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Uzir berkata, Selangor merekodkan jumlah rumah percutian tertinggi iaitu 19,095 unit, mewakili lebih satu perempat daripada keseluruhan jumlah di negara ini.
Ia diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 8,207 unit dan Johor sebanyak 7,274 unit.
Beliau berkata, tumpuan rumah percutian di negeri-negeri tersebut mencerminkan permintaan pelancongan yang tinggi, disokong oleh rangkaian pengangkutan yang komprehensif, aktiviti ekonomi yang dinamik serta lokasinya yang berhampiran dengan destinasi pelancongan utama.
Buletin Statistik Rumah Percutian: Banci Ekonomi 2026 merupakan penerbitan statistik rasmi pertama mengenai rumah percutian mengikut negeri dan daerah di Malaysia.
Mohd Uzir berkata, penerbitan itu merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh statistik rasmi pelancongan negara dengan menyediakan data yang komprehensif mengenai taburan geografi industri rumah percutian buat pertama kali.
"Statistik ini menyediakan asas penting yang berteraskan bukti bagi menyokong penggubalan dasar, perancangan pelancongan serta pembangunan industri yang mampan," katanya. - BERNAMA








