KUALA LUMPUR 7 Julai – Pemilik kenderaan beberapa model Chevrolet dan SAAB di negara ini yang menggunakan beg udara Takata digesa segera membuat penggantian secara percuma sebelum akhir 2026.
Chevrolet Sales (Thailand) Co Ltd (CST) berkata, pengeluar kenderaan itu memaklumkan sokongan penggantian melalui rangkaian pengedar Honda Malaysia Sdn Bhd akan ditamatkan penghujung tahun ini.
Justeru, notis terakhir itu dilaksanakan berikutan tahap sambutan terhadap kempen panggilan balik keselamatan yang dilancarkan sejak pertengahan 2022 masih lagi kurang memberangsangkan di Malaysia.
"Kempen ini melibatkan model Chevrolet Cruze (2010–2015), Chevrolet Orlando (2013–2015), Chevrolet Sonic (2013–2014), Chevrolet Trax (2017) serta SAAB 9-3 (2007)," tambahnya dalam satu kenyataan.
CST menjelaskan, setakat 31 Disember 2026, penggantian beg udara masih dibuat percuma menerusi pengedar sah terpilih Honda Malaysia sebagai rakan sokongan tempatan ke atas kempen berkenaan.
Bagaimanapun, selepas tempoh tersebut berakhir, pemilik kenderaan yang belum membuat penggantian tidak lagi boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut di negara ini melalui rangkaian Honda Malaysia.

Sebaliknya, mereka perlu mendapatkan perkhidmatan penggantian percuma di pusat servis ditetapkan Chevrolet di Singapura atau Yala, Thailand, dengan segala urusan akan diselaraskan oleh CST.
"Bagi memudahkan pemilik kenderaan, CST terus menyediakan maklumat berkaitan proses penggantian dan bantuan pelanggan menerusi laman web khas kempen panggilan balik selepas tarikh itu," katanya.
Menurut syarikat tersebut, beg udara Takata yang terlibat menggunakan propelan tanpa bahan penyerap kelembapan, yang boleh merosot selepas terdedah amat lama kepada cuaca panas dan kelembapan tinggi.
Keadaan itu berpotensi menyebabkan tekanan berlebihan apabila diaktifkan ketika kemalangan sehingga sarung boleh pecah dan melontarkan serpihan logam, yang meningkatkan risiko kecederaan serius.
Chevrolet menasihatkan pemilik agar menyemak nombor pengenalan kenderaan (VIN) masing-masing menerusi laman web rasmi kempen panggilan balik bagi memastikan sama ada kenderaan mereka terlibat.
"Mereka boleh membuat temu janji di pusat servis yang mengambil bahagian, dan tindakan penggantian segera beg udara itu amat penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya," kata CST.
Syarikat itu turut menggesa masyarakat menghebahkan isu itu agar ramai pemilik kenderaan terjejas dapat mengambil tindakan sebelum kemudahan sokongan tempatan berakhir hujung tahun ini. - DagangNews.com








