SHAH ALAM 7 Julai - Tasco Berhad, anak syarikat Yusen Logistics Co. Ltd dari Jepun dan antara penyedia penyelesaian logistik bersepadu terbesar di Malaysia, menambah lima lagi kepala trak MAN TGS 6x2 spesifikasi Euro V ke dalam armada pengangkutannya susulan prestasi memberangsangkan 15 unit pertama yang diperoleh tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi II merangkap Pengarah Korporat Kumpulan Peningkatan Kualiti dan Prestasi Tasco, Haris Fazail Haroon, berkata syarikat berpuas hati dengan prestasi trak MAN sepanjang tujuh bulan pertama operasi, khususnya dari segi kecekapan penggunaan bahan api, tahap keselamatan dan kebolehpercayaan.
Beliau berkata, sistem MAN Telematics turut membantu syarikat memantau prestasi setiap kenderaan dengan lebih berkesan, manakala penjimatan bahan api yang dicapai melebihi jangkaan.
"Sepanjang tempoh tujuh bulan beroperasi, kami tidak menghadapi sebarang masalah dengan trak MAN. Prestasinya sangat memuaskan, terutama dari segi kecekapan bahan api, keselamatan dan kebolehpercayaan," katanya pada majlis penyerahan lima unit baharu itu baru-baru ini.
Menurut beliau, Kontrak Pembaikan dan Penyelenggaraan (RMC) yang ditawarkan MAN turut memudahkan penyelenggaraan trak pada kos tetap tanpa sebarang perbelanjaan luar jangka sepanjang tempoh kontrak.
Katanya, kontrak itu meliputi penggunaan alat ganti tulen MAN serta kos buruh, sekali gus mempercepatkan proses kelulusan kerja pembaikan dan mengurangkan masa henti operasi.
"Tempoh penyelenggaraan di pusat servis MAN juga sangat pantas. Pusat servis yang beroperasi sehingga jam 2 pagi membolehkan kami menghantar trak pada waktu malam dan menggunakannya semula pada awal pagi keesokan harinya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAN Truck & Bus (M) Sdn. Bhd., Marc Appelt, berkata keputusan Tasco melabur dalam trak MAN Euro V membuktikan keyakinan syarikat terhadap keupayaan model berkenaan yang terkenal dengan kebolehpercayaan, prestasi serta Jumlah Kos Pemilikan (TCO) yang rendah.
Beliau berkata, MAN Malaysia turut menyediakan latihan kepada semua pemandu Tasco bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang terdapat pada trak berkenaan. - DagangNews.com








