Penilaian semula portfolio hartanah IGB Commercial REIT meningkat kepada RM3.253 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penilaian semula portfolio hartanah IGB Commercial REIT meningkat kepada RM3.253 bilion

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 JulaiIGB Commercial REIT (IGBCR) mengumumkan nilai seluruh portfolio hartanah pelaburan naik 0.184% kepada RM3.253 bilion setakat 30 Jun 2026, berbanding 31 Disember 2025.

 

Angka terbaharu itu selepas dilakukan penilaian semula oleh penilai bebas, sekali gus mencerminkan daya tahan aset komersial utamanya walaupun pasaran hartanah pejabat masih lagi berdepan cabaran.

 

IGB REIT Management Sdn Bhd, selaku pengurusnya berkata, penilaian oleh Knight Frank Malaysia Sdn Bhd yang berdaftar dengan Lembaga Pentaksir, Penilai, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta Malaysia.

 

"Nilai pasaran portfolio hartanah pelaburan meningkat daripada RM3.247 bilion pada akhir tahun lalu, bersamaan peningkatan nilai saksama sebanyak RM6 juta," maklum IGBCR kepada Bursa Malaysia.

 

Antara aset yang mencatatkan peningkatan terbesar ialah The Gardens North Tower di Mid Valley City, yang meningkat sebanyak RM4 juta kepada kira-kira RM392 juta berbanding RM388 juta sebelum ini.

 

Selain itu ujarnya, Southpoint Offices & Retail dan Centrepoint North merekodkan kenaikan RM1 juta, menjadikan nilai pasaran dua hartanah itu meningkat masing-masing kepada RM640 juta dan RM197 juta.

IGB Commercial REIT_DagangNews2026

 

Kebanyakan hartanah utama lain dalam portfolio IGBCR namun mengekalkan nilai, termasuk Menara IGB & IGB Annexe, Centrepoint South, Boulevard Offices & Retail, The Gardens South Tower dan GTower.


"Selepas diambil kira perbelanjaan yang dipermodalkan bagi inisiatif penambahbaikan aset, perubahan nilai saksama bersih bagi sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah RM841,000," katanya.


Menurut kenyataan IGBCR, pelarasan insentif pajakan tertunda RM610,000 turut dilaksanakan selaras dengan keperluan Malaysian Financial Reporting Standard (MFRS) 16 berkaitan perakaunan pajakan.


Berdasarkan keputusan interim tidak diaudit bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026, nilai aset bersih (NAV) kumpulan amanah pelaburan hartanah (REIT) komersial itu adalah RM0.9603 seunit.


IGBCR turut memaklumkan laporan penuh penilaian hartanah akan disediakan untuk pemeriksaan di pejabat berdaftarnya di The Gardens South Tower bagi tempoh tiga bulan dari tarikh pengumuman berkenaan.


"Penilaian semula ini mencerminkan kestabilan portfolio aset komersial premium dengan peningkatan nilai beberapa bangunan utama membantu mengimbangi keadaan pasaran," tambahnya. - DagangNews.com